NORHAYATI memberanikan diri membuka cawangan keduanya.
NORHAYATI memberanikan diri membuka cawangan keduanya.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Sejak kecil hingga meningkat dewasa, wanita ini tidak pernah didedahkan dengan ilmu perniagaan. Namun, perniagaan pakaian Muslimah yang diusahakan secara suka-suka pada 2010 itu akhirnya membuahkan hasil yang tidak diduga sekali gus menimbulkan minat untuk serius menceburi bidang berkenaan.

Akibat bosan selepas berhenti kerja kerana kesan mabuk hamil yang teruk pada kandungan anak pertamanya, Norhayati Sahdullah, 29, cuba menjalankan perniagaan secara dalam talian tanpa perlu mengeluarkan modal.

“Ketika itu saya hanya minat mengajar dan tidak pernah terlintas di fikiran untuk terbabit dalam dunia perniagaan. Saya terpaksa berhenti mengajar disebabkan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan dan pada masa sama, banyak mengambil cuti ketika bekerja.

“Selepas berhenti kerja, saya bosan apabila hanya duduk di rumah tanpa melakukan sebarang pekerjaan di siang hari kerana pada waktu malam, saya masih mengadakan kelas tuisyen,” katanya.

Tanpa disangka, jualan bulan pertama mencecah keuntungan hingga RM5,000 sekali gus dia mengubah fikiran untuk melakukan perniagaan secara sepenuh masa.

Selepas lebih setahun menjual abaya, rumahnya tidak lagi mempunyai ruang mencukupi untuk menyimpan stok pakaian Muslimah berkenaan kerana permintaan yang semakin meningkat.

Atas sebab itu, menggunakan model sendiri berjumlah RM40,000 dia tekad membuka butik Eljameela yang terletak di Jalan Dwitasik 1, Dataran Dwitasik, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, yang masih beroperasi hingga ke hari ini.

Cabaran

Membawa label nama butiknya itu, dia memberi fokus terhadap koleksi jubah dan blaus rekaan sendiri untuk kanak-kanak hingga dewasa yang dijahit oleh tukang jahit tempatan bagi menjaga kualiti setiap rekaannya.

“Bagi saya, tidak ada masalah dengan persaingan daripada butik Muslimah lain yang kini bagai cendawan tumbuh selepas hujan kerana setiap jenama mempunyai keunikan dan peminatnya sendiri.

“Namun yang memberikan cabaran pada saya adalah mendapatkan pekerja tetap yang bekerja dengan bersungguh-sungguh. Kebanyakan pekerja sebelum ini tidak mampu bertahan lama kerana mereka berhenti selepas mempelajari selok-belok perniagaan. Namun, saya tidak berputus asa walaupun ketika itu berasa agak sedih kerana baru habis berpantang dan perlu menguruskan butik sendirian,” katanya.

Ujarnya, semangat dan cara menyelesaikan masalah dilakukan secara bijak dan sedikit demi sedikit hingga kini dia mempunyai tiga pekerja tetap yang masih setia berkhidmat.

Selepas lebih lima tahun mengharungi kesulitan dan kemanisan dalam perniagaan, Norhayati memberanikan diri membuka cawangan keduanya yang akan dilancarkan pada 28 Mac ini di Bangi Sentral, Bangi.

Majlis pelancaran yang akan bermula jam 10 pagi hingga 9 malam itu turut memberi peluang kepada penggemar jenamanya melihat sendiri rekaan terkininya.

Nama butik Eljameela Rannea dipilih sebagai langkah penjenamaan semula butik asalnya. Mengeluarkan modal sendiri dan dibantu oleh suami serta rakan kongsi, RM150,000 dilaburkan untuk cawangan kedua jenamanya yang berkonsepkan butik santai dan eksklusif.

Pada masa sama, dia turut membuka peluang kepada vendor baru terutama butik dalam talian untuk menyewa ruang yang disediakan. Selain helaian pakaian Muslimah, dia membuka ruang sewaan kepada peniaga produk kesihatan yang menyasarkan pengguna Muslimah.

Fotografi

Ujarnya, semua cabaran perniagaan harus dihadapi dengan bijak. Justeru, sebelum membuka perniagaan sendiri pastikan individu itu mempunyai hati yang cekal, tabah dan berani untuk mengambil risiko untung serta rugi.

Ini kerana banyak duit yang akan dilaburkan bagi memajukan perniagaan agar ia terus dikenali. Selain itu, kita juga perlu mencari ilmu dalam pelbagai aspek seperti pemasaran, perniagaan dan fotografi sebanyak mungkin.

“Ilmu yang diperoleh itu secara tidak langsung dapat membantu menjadikan urusan perniagaan bertambah maju dan kreatif. Ditambah dengan kemahiran komunikasi termasuk teknik melayan pelanggan, ia satu kelebihan bagi butik.

“Pada masa sama, letak 100 peratus kepercayaan dan pergantungan kepada Allah selepas berusaha memajukan perniagaan kerana kita bekerja sendiri serta tidak mempunyai gaji tetap setiap bulan,” katanya.

Baginya, perniagaan baju bukan hanya diperlukan ketika sambutan perayaan namun ia dipakai setiap hari terutama Muslimah yang begitu mementingkan penampilan sopan dan mengikut syariat.

Justeru, kebanyakan rekaan koleksi yang ditampilkan memberi fokus kepada Muslimah dan wanita yang menyusukan anak bermula saiz S hingga XXXL. Walaupun ia memberi penekanan terhadap rekaan mesra penyusuan, koleksi yang diketengahkan juga praktikal digayakan oleh semua wanita.

Jelasnya, bukan mudah untuk menghasilkan rekaan yang selesa dan sesuai digayakan oleh Muslimah. Ini kerana dia perlu mencuba berulang kali terlebih dulu rekaan yang disiapkan bagi meneliti keselesaan kain dan potongan bersesuaian dengan ciri Muslimah yang dikehendaki kebanyakan pelanggannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 12:35 PM