PEMAIN  Perak,  Nam Kung  Woong (kiri)   menanduk bola sambil cuba dihalang pemain LionsXII, Muhd Izzdin Shafiq.
PEMAIN Perak, Nam Kung Woong (kiri) menanduk bola sambil cuba dihalang pemain LionsXII, Muhd Izzdin Shafiq.
Oleh Azizan Hashim

[email protected],my

Ipoh: “Satu mata tetap berharga selain kami juga belum tewas!”

Begitulah kata jurulatih Perak Datuk M Karathu sebaik anak buahnya seri 2-2 dengan LionsXII di Ipoh malam kelmarin.

Malah berdasarkan perwatakan mantap ditonjolkan pemain, tuan rumah layak mengutip mata penuh, hanya untuk dihampakan jaringan lewat permainan babak kedua oleh anak buah Fandi Ahmad.

“Saya puas hati dengan cara kami bermain. Mereka berupaya bangkit walaupun ketinggalan kepada lawan di awal permainan.

“Cuma sedikit kesilapan di bahagian benteng menyebabkan kami gagal mengutip mata penuh,” kata Karathu.

Menurut jurulatih itu, anak buahnya menyerang dengan berkesan dan bertahan baik untuk memberi tekanan kepada pelawat.

“Setiap pemain bekerja keras serta saling bantu membantu. Kami juga mencipta beberapa peluang tapi malangnya gagal memanfaatkannya terutama pada awal permainan.

“Jika gol itu disempurnakan, saya yakin suasana perlawanan berlainan. Sebaliknya LionsXII yang menyumbat gol hasil serangan balas selepas kegagalan kami itu.

“Semangat pemain memang cukup tinggi. Nam Kung (Woong) baru keluar hospital kerana demam tapi tetap mahu beraksi.

“Walaupun persembahannya tidak mencapai tahap sebenar, dia masih menyumbang satu gol,” katanya.

Jurulatih itu juga memuji persembahan Charles Souza Chad yang akhirnya menamatkan kemarau gol apabila menyumbat jaringan penyamaan pada minit ke-28.

“Saya harap dia mampu meneruskannya pada perlawanan akan datang,” katanya.

Menurut Karathu, ketiadaan Mohd Shukri Hamid di bahagian tengah menjejas sedikit rentak pasukan kerana melakukan rombakan dalam usaha mengimbangi kemampuan pasukan.

Sementara jurulatih LionsXII Fandi Ahmad lega pulang dengan satu mata menyedari kesukaran dihadapi anak buahnya.

“Saya memang jangkakan laluan sukar terutama dalam mengekang dua pemain import Perak yang sentiasa menjadi ancaman besar kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Februari 2015 @ 6:48 AM