Oleh Azizan Hashim

Ipoh: Perak perlukan khidmat dua penyerang berwibawa jika ingin menjadi pencabar disegani dalam kancah Liga super 2015.

Justeru, jurulatih The Bos Gaurus Datuk M Karathu berkata, Perak perlu mencari penyerang import berwibawa apabila tingkap perpindahan dibuka April ini.

Karathu menyuarakan pendapat itu berikutan ketumpulan jentera serangan Perak ketika menentang Kelantan yang berkesudahan 0-0 di Ipoh, Sabtu lalu .

“Kami ketiadaan penyerang yang mampu menyudahkan peluang yang dicipta. Jadi, kami kena cari seorang penyerang,” katanya.

Walaupun tidak menyatakanya, Karathu nyata kecewa dengan persembahan Charles Souza Chad yang digandingkan dengan Marco Tulio Silva yang gagal menyempurnakan peluang yang dicipta tuan rumah.

“Perak juga mampu memenangi perlawanan jika beberapa peluang yang dicipta diawal serta baki 15 minit permainan mampu diterjemahkan menjadi gol.

Saya yakin jika ada Namkung (Wong) mungkin berlainan kesudahannya. Malangnya dia mengalami kecederaan paha,” katanya

Karathu memuji persembahan bersemangat anak buahnya ketika mengikat Kelantan untuk mengutip satu mata berharga di tempat sendiri serta mengekalkan rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan.

“Yang penting kami tidak kalah sehingga kini terutama di hadapan penonton sendiri. Bayangkan jika kalah digelanggang sendiri.

“Harus diingat Kelantan memang sebuah pasukan kuat serta memiliki pemain berpengalaman, manakala Perak adalah pasukan muda yang sedang belajar. Melalui pertemuan dengan pasukan kuat seperti Kelantan ini pemain saya menimba pengalaman dan menjadi bertambah matang.

“Saya puji pemain Perak kerana berjaya bertahan dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 6:17 AM