Oleh Azizan Hashim


Ipoh: Perlu tunjuk perwatakan mantap jika ingin bergelar juara! Begitulah peringatan jurulatih Perak, Datuk M Karathu kepada pemain The Bos Gaurus untuk menghadapi juara Piala FA, LionsXII di Stadium Jalan Besar, malam ini.

Bagi Karathu pemain perlu buktikan mereka berupaya memenangi bukan sahaja perlawanan di tempat sendiri tetapi ketika bertandang ke tempat lawan.

“Itu barulah watak juara. Jika sekadar menang di tempat sendiri itu jaguh kampung,” katanya sebagai motivasi kepada pemain.

Begitupun jauh dilubuk hatinya, Karathu sedar pencapaian anak buahnya cemerlang di gelanggang lawan setakat ini .

Kecuali tumpas 0-1 kepada Pahang di Kuantan pada 5 April lalu, Perak mencatat kejayaan ke atas ATM, FELDA United, Selangor dan Sarawak pada pusingan pertama serta Sime Darby dalam pusingan kedua.

“Pencapaian Perak di gelanggang lawan setakat ini cukup cemerlang. Jadi saya harap pemain teruskan rentak itu serta tuah juga akan terus bersama Perak apabila turun melayani LionsXII.

“Bukan mahu mendabik dada tetapi berdasarkan hakikat kami berupaya menang di kandang lawan,” kata Karathu.

Bagi menghadapi pertembungan dengan anak buah Fandi Ahmad malam ini, beliau sudah membuat perancangan dan berharap pemain melaksanakannya dengan berkesan.

“Pemain beraksi dengan baik dalam tiga perlawanan terakhir.

“Saya harap pemain mampu ulangi persembahan sama. Jika itu dapat dilakukan tidak ada sebab mengapa kami tidak boleh berjaya,” katanya.

Namun beliau juga mengingatkan pemain supaya tidak terlalu yakin berikutan kini menduduki kedudukan ketiga carta liga.

“Jangan terlalu yakin kerana dikhuatiri membawa padah apabila hilang fokus,” katanya.

Menurut jurulatih berpengalaman itu, dia berupaya menurunkan kesebelasan terkuat untuk menghadapi apa juga bentuk cabaran tuan rumah.

“Ini satu lagi perlawanan penting buat kami. Pemain tahu apa yang diharapkan. Kami datang dengan tekad untuk tidak kalah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 9:14 AM