PEMAIN negara meraikan kemenangan selepas tamat perlawanan. FOTO FAM
PEMAIN negara meraikan kemenangan selepas tamat perlawanan. FOTO FAM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara semakin mencerahkan peluang untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan selepas berjaya menewaskan Mongolia 1-0 pada saingan Kumpulan J, kempen kelayakan hari ini.

Ia kemenangan kedua berturut-turut diraih skuad bimbingan Brad Maloney selepas menewaskan Laos dengan jumlah jaringan sama pada perlawanan pertama sekali gus kekal di tangga teratas peringkat kumpulan dengan enam mata.

Ini bermakna, skuad negara memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri apabila bertemu Thailand pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Ahad ini untuk layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 selaku juara kumpulan.

Meskipun sekali lagi meraih tiga mata penuh, pengendali skuad negara, Brad Maloney berasakan anak buahnya layak meraih kemenangan lebih besar.

Pada perlawanan di Stadium MFF, Ulaanbaatar di Mongolia itu, gol tunggal penyerang negara, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar memastikan Malaysia mengutip tiga mata penuh selepas dia turut menyumbat gol ketika menewaskan Laos.

Maloney berkata, barisan pemainnya terlepas beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol terutamanya dua cubaan menerusi Azfar dan kapten pasukan, Mukhairi Ajmal yang terkena palang gol.

"Perlawanan hari ini seperti yang kami jangkakan sangat kompetitif dan lebih bersifat fizikal. Tidak semua yang kami rancang berjalan seperti diharapkan. Barisan pemain sepatutnya mampu menjaringkan dua atau tiga gol lagi tetapi apapun saya tetap berpuas hati dengan keputusan meraih tiga mata," katanya.

Jelas Maloney, pada awal permainan Mongolia memberi tekanan hebat tetapi barisan pemainnya dapat menguasai permainan.

"Pemain dapat mengawal tempo permainan dan terus bermain seperti yang dimahukan. Ia tetap keputusan bagus bertemu Mongolia yang mempunyai ramai pemain berkualiti," katanya.

Azfar menjaringkan gol tunggal apabila menanduk bola masuk ke gawang gol lawan pada minit ke-40 berpunca daripada sepakan penjuru dan kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Pada satu lagi perlawanan, Thailand menewaskan Laos 3-0 sekali gus menduduki tangga kedua peringkat kumpulan dengan mengumpul empat mata selepas dua perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 5:12 PM