ASHLEIGH Barty.
ASHLEIGH Barty.
Reuters

JUARA Terbuka Perancis, Ashleigh Barty mungkin menolak pelawaan Andy Murray untuk bergandingan dengannya dalam aksi beregu campuran di Wimbledon namun pemain Scotland itu dihujani tawaran daripada pemain dahulu dan sekarang yang sedia berkerjasama dengannya.

Muraay kembali ke kancah tenis kompetitif selepas berehat lima bulan akibat kecederaan menerusi acara beregu Kejuaraan Queen’s Club minggu ini dan pemain berusia 32 tahun itu kini mencari pasangan di Wimbledon yang bermula 1 Julai ini.

“Saya ingin beraksi dalam acara beregu campuran di Wimbledon bulan depan dan bercakap dengan beberapa pemain mengenai gandingan bersama,” kata Murray menerusi kolum BBC.

“Namun beberapa kali saya ditolak, tentunya dengan cara baik.”

“Antaranya adalah Ash Barty. Saya ada berbicang dengannya ketika Terbuka Perancis dan dia berkata tidak kerana dia sudah pun beraksi dalam acara perseorangan dan beregu, jadi tidak mahu bermain dalam tiga acara.

“Tentu sekali saya memahaminya.

“Sesuatu yang memalukan apabila kami tidak dapat bermain bersama kerana saya mahukan gandingan terbaik. Saya pasti saya akan dapatkan gandingan hebat, untuk membuktikan saya cukup bagus untuk acara perseorangan dan beregu campuran.”

Tidak lama selepas itu, ramai pemain WTA membalas di media sosial mengenai keinginan bergandingan dengan bekas pemain lelaki nombor satu dunia itu dalam kejohanan utama gelanggang rumput itu.

“*Semak kalendar* Boleh, dan bersedia @andy_murray,” kata jagoan Grand Slam Billie Jean King, 75, menerusi Twitter.

Pemain Britain Naomi Broady sedia meninggalkan adiknya dan gandingan beregu Liam demi menyelamatkan misi pemain Scotland, apabila berkata “Saya pasti akan mengetepikan darah daging iaitu Liam Brody untuk bermain bersama anda #SORRYBRO.”

Pemain Australia Casey Dellacqua berkata dia sedia kembali daripada persaraan untuk bergandingan dengan Murray manakala bekas gandingan Ashleigh CoCo Vandeweghe, yang tidak beraksi akibat kecederaan, juga menawarkan bantuan.

“Saya sedia kembali daripada kecederaan semata-mata untuk ini. Maaf, Ash Barty,” kata CoCo.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 9:54 PM