Sariyanti
Sariyanti

Tak habis-habis cerita mengenai sikap artis buat perangai dengan media yang sampai ke telinga Cik Pang. Baru-baru ini, ada yang mengadu mengenai sikap pelakon Sariyanti dikatakan ‘buat perangai’ pada satu sesi fotografi.

Difahamkan, sesi fotografi itu dilakukan untuk akhbar tempat Cik Pang bekerja yang kebetulan diadakan untuk satu projek inspirasi pereka fesyen terkenal.

Kata teman itu, sebaik saja Sariyanti mengenakan pakaian pereka fesyen itu yang sedikit seksi kerana pilihan warna ikut kulit, dia bertanya fotografi itu untuk majalah apa.

Sebaik dimaklumkan untuk siaran akhbar, terus Sariyanti memberi kenyataan komen ikhlas yang mungkin berbaur ‘sarkastik’.

Katanya, fotografi itu tidak sesuai untuk akhbar, sebaliknya lebih sesuai untuk majalah kerana faktor baju dan keunikan fotografi yang diadakan.

Katanya lagi, akhbar Cik Pang ini hanya layak untuk ‘mak cik’ kampung, jadi kalau buat fotografi untuk akhbar, ia tidak sesuai dan tak layak.

Sentap seketika Cik Pang mendengarnya. Tidak sangka pula begitu perangai Sariyanti yang Cik Pang dengar sangat berhemah.

Tidak tahulah sama ada Sariyanti tahu atau tidak, selain mak cik kampung, akhbar tempat Cik Pang dan teman Cik Pang bekerja turut dibaca golongan atasan dan korporat.

Maknanya, semua golongan masyarakat, baik dari golongan marhain hinggalah VIP. Jadi, lebih baik ‘jaga sikit’ mulut apabila bercakap.

Selain mengeluarkan kata-kata berbaur ‘kejian’, pelakon itu juga dikatakan tidak memberi kerjasama baik kepada teman Cik Pang yang menjalankan tugas.

Kalau diikutkan, teman Cik Pang memang dah makan hati dengan perangai pelakon itu, tapi disebabkan tugasan yang dituntut, dipejamkan mata dan dipekakkan telinga untuk melayan karenah pelakon itu.

Mujur Cik Pang tidak ada di lokasi ketika itu, kalau tidak, awas! Memang dah penuh cili padi Cameron Highlands dalam mulutnya!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:07 AM