Oleh Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: “Kenyataan itu agak keterlaluan, sepatutnya beliau yang berada dalam FAM boleh berbincang terus tanpa membuat kenyataan secara terbuka,” kata Datuk Mokhtar Ahmad mengenai tindakan Tunku Ismail Sultan Ibrahim meletakkan jawatan selalu Penasihat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana menganggap badan induk itu tidak adil dan profesional.

Mokhtar, Timbalan Presiden FAM berkata, segala keputusan yang dibuat FAM berdasarkan peraturan ditetapkan namun jika ada pihak tidak puas hati mereka boleh merujuk semula perkara itu mengikut saluran betul.

“Kalau beliau (Tunku Ismail) hanya membuat kenyataan secara am FAM tidak adil atau kurang telus bagi saya, itu tidak betul. Kami ada peraturan dan jika tak betul sesiapa saja boleh buat rayuan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) membuat keputusan mengejut apabila mengumumkan meletakkan jawatan selaku Penasihat FAM selepas dilantik Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Oktober tahun lalu.

Menurut kenyataan Tunku Ismail menerusi laman media sosial Johor Southern Tigers, beliau mengambil keputusan itu kerana tidak mahu terbabit dalam organisasi yang tidak adil dan profesional.

Rasa tidak puas hati itu mungkin didorong beberapa keputusan FAM yang tidak memihak kepada skuad Harimau Selatan sebelum ini termasuk kes pemain Gary Steven Robbat yang digantung tiga bulan serta kegagalan dalam permohonan perubahan tarikh perlawanan baru-baru ini.

Mokhtar bagaimanapun mengakui satu kerugian untuk melihat Tunku Ismail meninggalkan FAM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:28 AM