PENGADIL Jepun diberi penghormatan untuk mengadili aksi pembukaan Piala Dunia 2014.
PENGADIL Jepun diberi penghormatan untuk mengadili aksi pembukaan Piala Dunia 2014.
Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bercadang menggunakan khidmat pengadil dari luar negara untuk mengadili perlawanan penting selepas ini.

Perkara itu dibangkitkan Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim susulan rungutan diterima berhubung mutu pengadilan dalam perlawanan Liga Super.

Katanya, khidmat pengadil dari Jepun antara pilihan yang mereka ada ketika ini.

“Berkenaan isu pengadil, dalam masa seminggu ini kami menerima beberapa laporan yang mengatakan pengadil menjalankan tugas mereka dengan teruk untuk beberapa perlawanan sebelum ini.

“Oleh itu, saya mengarahkan pihak FMLLP (Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia) untuk melihat semula perjanjian dengan Jepun FA yang mana untuk perlawanan besar dan penting kami mungkin menggunakan khidmat pengadil luar negara.

“Ia bagi mengelak mana-mana pihak untuk menuding jari,” kata Tunku Ismail dalam kenyataan di laman sosial media Facebook FAM semalam.

Isu mutu pengadilan menjadi perbahasan khususnya dalam kalangan peminat tempatan yang mempertikaikan keputusan beberapa perlawanan.

Antara perlawanan kontroversi membabitkan keputusan pengadil adalah membabitkan perlawanan Kedah dengan PKNS yang berkesudahan seri 1-1 dan kemenangan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) 3-2 ke atas Kelantan kelmarin.

Sehubungan itu, Tunku Ismail yang juga pemilik Johor DT menangkis tanggapan segelintir pihak bahawa keputusan pengadil perlawanan itu banyak memihak kepada Harimau Selatan.

“Jika ada yang mengatakan Johor DT menang kerana saya Presiden FAM, tanggapan itu tidak betul. Saya sudah menang tujuh piala buat Johor DT dan menentang sistem sebelum menjadi Presiden FAM,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 11:12 AM