AGNES (tengah) bersama  Ketua Sektor Malaysia, Saluran Fox International Vineet Puri (kiri) dan Naib Presiden Kandungan dan Hiburan Turner International Asia Pasifik Marianne Lee ketika pelancaran saluran Korea Selatan, Oh! K dan Channel M, baru-baru ini.
AGNES (tengah) bersama Ketua Sektor Malaysia, Saluran Fox International Vineet Puri (kiri) dan Naib Presiden Kandungan dan Hiburan Turner International Asia Pasifik Marianne Lee ketika pelancaran saluran Korea Selatan, Oh! K dan Channel M, baru-baru ini.
Syanty Octavia Amry


Peminat setia drama serta program Korea Selatan kini boleh tersenyum puas apabila Astro membawakan dua saluran menarik negara itu yang diberi nama Oh! K (saluran 394) dan Channel M (saluran 395).

Ditayangkan dalam bentuk definisi tinggi (HD), saluran ini boleh dilanggan pengguna yang mempunyai peranti B.yond.

Mula beroperasi sejak 16 Februari lalu, dua saluran berkenaan boleh ditonton percuma sehingga hujung bulan ini. Hadir dalam pakej Korean Pack, pelanggan boleh membayar pada harga RM10 sebulan.

Naib Pengerusi Kumpulan Pengurusan Kandungan Astro Agnes Rozario berkata, semua rancangan yang bakal disiarkan melalui dua saluran baru itu adalah yang terbaik dan popular di Korea Selatan.

“Dua saluran ini begitu menarik apabila Channel M HD antara saluran paling kukuh yang memaparkan mengenai muzik Asia dan juga budaya di negara berkenaan.

“Untuk saluran Oh!K HD pula, kami menawarkan kandungan terbaru dan terbaik daripada MBC di Korea Selatan. Dua saluran ini juga akan menyiarkan rancangan terbaru hanya beberapa jam selepas bersiaran di negara itu,” katanya ketika ditemui pada pelancaran saluran berkenaan, baru-baru ini.

Oh!K HD menawarkan drama siri premium, rancangan varieti dan program muzik oleh penyiar Korea Selatan, MBC antaranya Shine or Go Crazy yang disiarkan pada waktu sama seperti di negara itu, Rosy Lovers dan Four Legendary Witches.

Kandungan muzik dan varieti popular yang akan disiarkan termasuk Infinate Challenge dan I Am A Singer (musim ketiga).

Saluran asal kepada program anugerah popular Mnet Asian Music Award (MAMA) iaitu channel M HD menawarkan kandungan yang komprehensif dari trend terkini Hallyu, K-Pop, rancangan varieti, drama dan program gaya hidup.

Antara program yang disiarkan ialah Bad Guys, M! COUNTDOWN, Over Flower Series, Get It Beauty, Pony’s Diary dan K Chef Battlefield 2.

Lebih menarik lagi, saluran itu juga mempunyai pilihan sari kata terdiri daripada bahasa Inggeris, bahasa Malaysia dan bahasa Cina berserta dengan pilihan audio.

Bagi kemudahan tambahan, Oh!K HD dan Channel M HD juga boleh didapati melalui Astro On The Go.

Sebarang keterangan lanjut pelanggan boleh melayari laman web www.astro.com.my/koreanpack.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 10:21 AM