ANTARA barisan tutor yang bakal mengemudi SPM PRO+ secara santai dan bersahaja.
ANTARA barisan tutor yang bakal mengemudi SPM PRO+ secara santai dan bersahaja.
Suliati Asri


SELEPAS siri kegemaran ramai, 'Oh My English' diikuti siri kesayangan ramai, 'SMK Study Squad', Astro terus komited menyajikan kandungan pendidikan yang segar dan menghiburkan, sesuai untuk tontonan seisi keluarga dari pelbagai latar belakang dan peringkat umur.

Terbaharu, Astro menerbitkan siri pendidikan berbentuk 'edutainment' yang menghiburkan dan terkini menerusi 'SPM PRO+', seterusnya mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai salah satu organisasi yang sentiasa menitikberatkan elemen pendidikan untuk semua.

Menerusi program yang boleh disaksikan di Astro On Demand, Astro GO atau menontonnya setiap Isnin hingga Sabtu jam 9 malam di saluran Astro Tutor TV (CH603), SPM PRO+ ini merangkumi semua mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah, Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam yang mana setiap subjek mengikuti format Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) terkini.

Siri SPM PRO+ ini juga dapat membantu pelajar tingkatan empat dan lima mengemudi topik dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang dinilai dalam peperiksaan SPM akan datang melalui contoh soalan, Petua PRO+ dan kandungan pembelajaran berguna yang lain.

Terdapat 180 episod dalam siri ini dan setiap episod berdurasi tujuh minit.

Penolong Naib Presiden, Penciptaan Kandungan-GenNext Studio Astro Yasmin Yahya berkata, terdahulu pihaknya melaksanakan penyelidikan pasaran secara menyeluruh dan mendapati pandemik membuatkan sesi pembelajaran semakin mencabar dalam kalangan pelajar sekolah terutama mereka yang bersiap sedia menduduki peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Oleh sebab itu katanya, dalam usaha membantu pelajar ini, pihaknya mencipta kandungan baharu, SPM PRO+ bertujuan mengurangkan tekanan mereka ketika menghadapi peperiksaan ini kelak.

"Menerusi rancangan akademik baharu ini, kami mengumpulkan pasukan 'pro' yang terdiri daripada tutor muda dan popular yang boleh menjadikan sesi pembelajaran lebih menyeronokkan, namun pada masa sama kekal bermanfaat.

"Mereka yang membarisi barisan tutor ini ialah Iqbal Ahyar, Ifwat Rosdi, Syahmi Azizi, Syuhadak Seplee, Maryam Khan, Farez Atan dan PU Azman. Masing-masing dengan misi utama untuk membantu pelajar sukses dalam SPM.

"Siri ini juga bertujuan untuk mengurangkan tekanan pelajar ketika menyiapkan diri untuk menghadapi SPM akan datang menerusi kaedah yang lebih canggih dan kontemporari," katanya.

Sementara itu Penolong Naib Presiden Kandungan Asal Astro, Edison Cheam berkata, selain kandungan video, pihaknya juga menawarkan kandungan pendidikan 360 darjah (secara menyeluruh) dalam talian.

"Pelajar juga boleh mengakses nota ringkas tambahan, soalan latihan dan video lain di Upped (www.upped.com.my), portal pendidikan Astro secara percuma.

"Laman web ini akan memuat naik rujukan terkini subjek yang disiarkan di SPM PRO+ dan subjek yang tidak diliputi dalam rancangan terbabit seperti Kimia, Fizik, Biologi, Ekonomi, Perakaunan, Perniagaan dan Matematik Tambahan," katanya.

Sejak dulu Astro mengambil pelbagai langkah proaktif untuk memantapkan agenda pendidikan negara dan pada awal tahun ini, siri pendidikan 'SMK: Study Squad' meraih lebih 1.46 juta tontonan, seterusnya menjadikan ia rancangan akademik yang paling banyak ditonton di negara ini.

Astro juga mengeluarkan beberapa rancangan pendidikan lain seperti Misi Studi SPM, Pelan A+ SPM dan Dekoded.

Selain melengkapkan semua 10,000 sekolah kerajaan, lima asrama dan satu pusat belia di Malaysia Timur dengan Astro dekoder, yayasan tanggungjawab sosial korporat di bawah Astro, Astro Kasih turut menyumbangkan 30 komputer riba kepada sekolah rendah untuk membantu murid dengan pembelajaran dalam talian.

Semua program pendidikan Astro boleh distrim melalui aplikasi Astro GO dan On Demand menerusi Astro PVR Box atau Ultra Box.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 6:43 AM