BIG Bang menggegarkan Singapura pada konsert Ahad lalu.
BIG Bang menggegarkan Singapura pada konsert Ahad lalu.
Oleh Georgie Joseph


Berikutan sambutan hangat terhadap industri hiburan Korea Selatan, kehadiran saluran khas popular seperti One di Astro turut merancakkan industri hiburan tempatan.

Bagi penonton yang ‘gilakan’ drama, muzik dan program ‘variety’ dari negara itu pasti gembira wujudnya saluran khas berkenaan.

Tidak dinafikan One mendahului dari segi populariti dan kekuatan programnya, namun saluran terbaru Oh! K yang dilancarkan awal tahun ini dilihat semakin meraih pengikutnya tersendiri.

Oh! K yang boleh diikuti menerusi saluran Astro 394 dengan pelbagai kandungan eksklusif itu bukan diwujud­kan sebagai saingan untuk One. Buktinya, kandungan Oh! K segar, berbeza dan tidak bercanggah dengan mana-mana program di saluran popular lain termasuklah One.

Ditambah dengan kemaraan pelbagai medium untuk mendapatkan program terkini dari negara itu semakin luas menerusi Internet, kandungan disajikan harus betul-betul kuat.

Itulah inisiatif dilaksanakan pihak Oh! K yang mendapat kerjasama daripada stesen TV terkenal MBC di Korea Selatan.

Timbalan Presiden Kandungan, Hiburan Awam, Turner International Asia Pacific Marianne Lee berkata, pemilihan tepat kepada cita rasa penonton menjadi agenda utama mereka.

Kekuatan kandungan sentiasa menjadi keutamaan mereka selain memastikan penonton tidak ketinggalan dengan pelbagai program baru sebagaimana ditonton di Korea Selatan.

“Oh! K sentiasa menawarkan rancangan hiburan terhebat baik drama bersiri, program ‘variety’ dan muzik. Ini bermaksud, segala yang kami sajikan mestilah baru dan benar-benar tepat dengan kehendak penonton.

“Di Malaysia, drama romantik komedi sangat popular dan mereka mudah bersatu dengan jalan ceritanya. Bagaimanapun, ia cuma sebahagian dari strategi kami. Ini kerana, program ‘variety’ seperti Infinite Challe­nge, Just Married dan The Real Man serta drama zaman sejarah juga jadi kekuatan Oh!K.

“Paling penting bagi kami adalah kualiti serta jalan cerita yang mengisi satu-satu program itu. Kami sampai ke tahap jika ada sesuatu drama misalnya yang mendapat permintaan tinggi daripada penonton Malaysia, pasti ditunaikan,” katanya.

Mengikat kerjasama dengan MBC memberi kelebihan kepada Oh! K memperoleh program terbaru dari Korea Selatan dengan lebih pantas.

“Fokus utama tentu sekali drama bersiri terbaru di Korea Selatan dan ia boleh diikuti di Malaysia dalam tempoh masa 24 jam. Misi itu nyata berjaya apabila kerjasama dengan MBC membolehkan kami dapat memilih sendiri program terbaik. Memandangkan ia disiarkan terlebih dulu di sana, jadi kami dapat mengetahui rating serta reviu dengan lebih pantas.

“Ada juga beberapa tema yang kami tahu akan berjaya di Malaysia. Contohnya seperti drama Four Legendary Witches akan mendapat sambutan bagus kerana jalan ceritanya berkisar bidang pembuatan roti,” katanya.

Dalam pada itu, paras rupa pelakon juga antara menarik perhatian penonton.

Artis lelaki kacak dan artis wanita cantik serta popular sentiasa disukai selain keserasian karakter utama.

“Bukan saja pelakon utama, ketika ini kehadiran pelakon pembantu turut meninggalkan kesan yang sangat membantu. Penulisan serta plot yang menarik juga amat penting di samping ‘tagline’ lucu, gestur fizikal memainkan peranan besar,” katanya.

Big Bang antara penarik Oh!K

Terkenal dengan rekod luar biasa mengecap pelbagai kejayaan dalam bidang muzik, Oh!K turut menampilkan kumpulan Big Bang sebagai antara tetamu dalam program ‘variety’ Infinite Challenge.

Maklum saja, dengan jadual padat tahun ini namun pembabitan lima anggotanya dalam program itu semesti­nya satu strategi kuat.

Istimewa dan berturutan, episod membabitkan pe­nyanyi Fantastic Baby itu disiarkan beberapa kali mulai 17 dan 19 Julai lalu serta jam 8 malam esok.

Bakal membuatkan penonton ketawa ‘pecah perut’, episod berkenaan menyerlahkan sisi sebenar anggota kumpulan itu secara realiti.

Dihoskan beberapa pengacara berperwatakan ‘gila-gila’, Big Bang diminta me­nyiapkan tugasan khas yang direka spontan produksi terbabit.

Selain itu, pada rancangan khas Infinite Challenge’s Music Fest Special, dua anggotanya G-Dragon dan Taeyang turut terbabit menjadi mentor kepada hos program berkenaan.

Berkesempatan menonton episod berkenaan dalam kunjungan ke Singapura baru-baru ini, beberapa program baru lain turut dipertontonkan termasuklah drama epik berjudul Hwajeong.

Ditayangkan setiap Selasa dan Rabu jam 8.55 malam, drama berkenaan mengisahkan pergelutan kuasa di istana.

Tidak ketinggalan, drama romantik komedi Apgujeong Midnight Sun juga antara drama hebat yang tidak patut dilepaskan pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.45 malam. Manakala, episod terbaru program Just Married disiarkan setiap Sabtu, jam 12.50 tengah hari.

Kesinambungan daripada sesi pratonton eksklusif terbabit, Oh!K turut memberikan pengalaman menonton konsert Big Bang di Stadium Tertutup Singapura, Ahad lalu.

Seperti dijangkakan, dalam konsert itu Big Bang tanpa gagal mengagumkan lebih 25,000 penonton yang hadir. Mempersembahkan seleksi lagu hit mereka termasuklah lagu-lagu daripada album baru Made, anggotanya G-Dragon, Taeyang, TOP, Daesung, dan Seungri jelas luar biasa dan fenomena.

Malam ini dan esok, Big Bang akan menggegarkan Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur pula.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 12:41 PM