PERANAKAN Heritage di National Geographic.
PERANAKAN Heritage di National Geographic.
Najiy Jefri

Masyarakat Baba dan Nyonya atau lebih dikenali sebagai Peranakan adalah komuniti yang menetap di Melaka.

Masyarakat ini unik kerana mengamalkan adat resam dan budaya campuran Cina-Melayu.

Bagaimanapun, peredaran zaman dan pengaruh luar sedikit sebanyak memberi kesan besar kepada gaya hidup masyarakat Peranakan.

Justeru, bagi mempertahankan warisan itu agar tidak dilupakan, saluran dokumentari antarabangsa, National Geographic (saluran Astro 553/575 HD) akan menyiarkan program khas berjudul A Peranakan Heritage.

Bermula esok, siri pertama yang diberi judul In Search of the Straits Born with Julian Davison akan ditayangkan pada jam 10 malam.

Dokumentari itu akan memaparkan secara terperinci budaya Peranakan dari perspektif pengkaji sejarah merangkumi kehidupan di Kepulauan Melayu.

Siri kedua berjudul Gok’s Chinese Takeway - Malacca, Malaysia pula bakal membawa penonton menyusuri kisah pereka fesyen British yang juga pengacara TV serta penulis buku masakan Cina,Gok Wan menyingkap masakan fusion di negara ini termasuk Peranakan. Ia akan disiarkan pada 3 Ogos ini, jam 10 malam.

Sementara itu, siri ketiga, Potraits of the Peranakan with Sherman Ong pada 20 Julai, mengetengahkan pengalaman menarik jurugambar terkenal, Sherman Ong merakam budaya Peranakan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan, budaya dan warisan Peranakan bertapak teguh dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Budaya Peranakan unik baik soal bahasa, tradisi perkahwinan, reka bentuk dalaman, barang kemas, seramik, seni bina, muzik dan makanan.

“Sesiapa sahaja yang pernah membesar di Melaka, Pulau Pinang atau Singapura pasti mengakui keunikan warisan di bandar terkenal ini,” katanya ketika merasmikan program berkenaan baru-baru ini.

Kata Henry, program yang bakal disiarkan di saluran dokumentari antarabangsa itu sedikit sebanyak dapat merungkai cerita unik mengenai Peranakan untuk tatapan generasi muda.

“Biarpun sebelum ini terdapat banyak rancangan mengenai komuniti ini, tetapi percayalah dokumentari khas ini akan merungkai dan berkongsi dengan lebih mendalam kisah kewujudan mereka,” katanya.

Sementara itu, cef selebriti, Debbie Teoh, yang turut terbabit menjayakan dokumentari terbabit akan berkongsi beberapa jenis masakan untuk upacara sembahyang apabila warga Peranakan meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2016 @ 2:21 PM