Oleh Siti Zarinah Sahib


Permintaan terhadap pakaian Muslimah menyebabkan pelbagai rekaan dihasilkan dengan potongan unik dan menarik. Sekali imbas, ia seakan-akan sama dengan padanan yang disediakan di butik lain namun ia berbeza dari segi ketelitian, kualiti jahitan serta fabrik digunakan.

Pendapat ini turut dipersetujui pemilik butik TeaAmor Tiara Ezlin Zabri apabila menekankan kualiti dalam setiap rekaan kerana ia menjadi pilihan pertama wanita. Untuk itu, pemilihan fabrik sangat penting selain keselesaan rekaan yang menjadikan setiap pakaian itu berbeza.

Nyata apabila helaian jubah ini dipakai model, ia terletak cantik pada tubuh si pemakai. Malah, alunan gaya ketika kaki melangkah memberikan sesuatu yang berbeza lantas menambah keyakinan kepada wanita tanpa mengira sama ada mereka sudah berkahwin atau bujang.

Menggunakan label Jezlyna pada mulanya, koleksi ini menyediakan pakaian kasual seperti blaus, palazo dan kemeja yang dijual menerusi orang perseorangan di pejabat dan di rumah.

Hari demi hari himpunannya semakin bertambah sehingga memaksa dia membuka butik lantaran terlalu banyak pakaian di rumah. Ia juga memboleh­kan pelanggan memilih dan menggayakan terlebih dulu sebelum dijual.

"Sebelum ini saya menjual menerusi dalam talian, jadi wanita hanya mampu melihat. Selain itu, mereka juga boleh mendapatkannya menerusi rakan dan orang perseorangan. Namun apabila koleksi semakin bertambah, saya berasa perlu sebuah butik bagi menempatkan semua pakaian," katanya.

Daripada pakaian sedia dipakai, Ezlin mula meng­ilhamkan busana Muslimah memandangkan ramai yang bertanya mengenai­nya. Jubah antara keluaran pertama diperkenalkan Tea­Amor Tiara. Ini diikuti dengan blaus peplum, kaftan, skirt, palazo dan tudung yang dihasilkan berdasarkan cita rasa sendiri serta kesukaan pelanggan.

Menggunakan fabrik lycra kerana senang dibentuk dan terletak cantik, Ezlin memilih pelbagai jenis lycra sama ada polos atau berkilat bagi menimbulkan kelainan. Dengan pelbagai persaingan, TeaAmor berazam ingin memasarkan sesuatu yang unik serta berbeza.

"Kelainannya dari segi gabungan dua fabrik atau lebih namun ia masih me­ngekalkan kesederhanaan dalam rekaan. Wanita moden kini tidak menyukai padanan terlalu sarat terutama bermanik penuh. Bagi mereka ringkas itu lebih baik," jelasnya.

Selain kualiti fabrik, sebagai pereka Ezlin memahami tidak semua golongan mampu memiliki pakaian sekiranya harga terlalu mahal.

"Saya cuba memastikan kebanyakan pakaian mampu dimiliki semua. Jubah bermula daripada RM79 sehingga RM229 manakala gaun peplum hanya RM79," jelasnya.

Selain pakaian, terdapat koleksi selendang dua dan tiga warna menggunakan fabrik sifon. Pada mula­nya dia hanya menghasilkan selendang sewarna tetapi memikirkan trend wanita masa kini yang gemarkan selendang dua dan tiga warna, dia cuba menghasilkannya.

Menggabungkan dua warna memerlukan ketelitian kerana tidak semua warna sesuai dipadankan.

"Justeru, saya cuba menghasilkan beberapa selendang dan memakainya terlebih dulu. Jika selesa dan tidak nampak 'pelik', barulah saya menghantarnya ke kilang. Biasanya warna lembut lebih mudah digandingkan berbanding rona terang," katanya yang gemar menggunakan merah jambu dan biru sebagai asas rekaan. Setiap selendang dijual bermula daripada RM15 hingga RM59.

Jika selendang digemari remaja dan wanita berkerjaya, apa kurangnya tudung bersengkuap dan Syria kerana masih menjadi pilihan sehingga kini.

Walaupun tumpuannya kepada busana Muslimah, dia menerima kunjungan daripada wanita bukan Islam yang memilih rekaan kasual seperti skirt, palazo dan blaus untuk gaya ke pejabat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:02 AM