A’TIKAH bersama Iskandar .
A’TIKAH bersama Iskandar .
A’TIKAH bersama Iskandar mengusahakan perniagaan bersama-sama sejak 2008.
A’TIKAH bersama Iskandar mengusahakan perniagaan bersama-sama sejak 2008.
Siti Zarinah Sahib

Dia masih seperti yang penulis kenali tujuh tahun lalu. Peramah, gemar ketawa dan sentiasa bersemangat apabila bercerita mengenai empayar perniagaan yang dibina sejak 2008.

Bermula dengan hanya menjual tudung menerusi dalam talian, pemilik nama A’tikah Ash’ari pengasas Radiusite ini bijak membuat percaturan dalam menentukan hala tuju perniagaannya. Buktinya kini dia boleh tersenyum bangga apabila mempunyai empat butik fizikal dan masih meneruskan penguasaan penjualan menerusi dalam talian.

Tercetusnya idea membuka perniagaan, A’tikah memberitahu ketika masih menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan, dia membaca satu artikel menarik dalam majalah mengenai perniagaan dalam talian.

“Ketika itu perniagaan menerusi dalam talian masih baru dan tidak ramai menggunakan medium ini untuk menjual produk. Saya terfikir mengapa tidak saya mulakan dulu. Berbekalkan modal permulaan RM500, saya dan rakan yang kini suami, gigih mencari dan membeli pelbagai fesyen tudung terbaru di kedai sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman.

“Saya menjadi model setiap helaian tudung manakala suami menjadi jurugambar. Selepas siap, semua gambar dimuat naik di medium blogspot. Tidak sangka tudung yang dipamerkan mendapat sambutan ramai sehingga hampir setiap minggu saya terpaksa mencari rekaan baru,” katanya.

Keuntungan dua kali ganda yang diperolehnya menyebabkan dia dan suami, Iskandar Zulkarnain semakin bersemangat mengembangkan perniagaannya. Tambah pula sebagai pelajar dengan hasil jualan mencecah RM10,000 sebulan ketika itu cukup memberikan keseronokan kepadanya dan membuatkan A’tikah mahu berniaga sendiri.

“Selepas tamat pengajian pada 2009, saya bertekad meneruskan perniagaan tudung. Ia menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ahli keluarga kerana mereka bimbang perniagaan ini tidak mendatangkan keuntungan, berbanding kerjaya makan gaji yang lebih stabil.

“Namun saya tekad meneruskannya. Selepas perniagaan agak stabil dan rumah dipenuhi stok tudung yang banyak saya dan suami mengambil keputusan membuka butik pertama di Shah Alam diikuti Rawang, Johor Bahru dan Bangi Sentral pada 2015,” katanya.

Pasang surut berniaga

Sebagai usahawan A’tikah akur berniaga ada pasang surutnya. Sejak membuka perniagaan pada 2008 sehingga kini dia masih dapat mempertahankan jenama Radiusite walaupun berhadapan persaingan sengit serta kesuraman ekonomi menyebabkan perniagaan sedikit terganggu pada tahun ini.

“Saya akur dengan keadaan ekonomi sekarang. Ada rakan yang sudah menutup butik ada juga membuka cabang perniagaan lain. Tetapi kami masih bertahan kerana berasakan dengan keadaan ekonomi sekarang usahawan perlu kreatif mencari peluang lain bagi memantapkan perniagaan,” katanya.

Oleh sebab itu Radiusite tidak lagi memberi tumpuan kepada pembukaan butik fizikal baru sebaliknya lebih memberi fokus kepada strategi pemasaran menerusi dalam talian.

Jelasnya, sejak lapan tahun lalu Radiusite antara laman sosial yang paling ramai dikunjungi pelanggan sehingga memberikan keuntungan berganda melebihi penjualan butik fizikal. Namun dia dan suami perlu berusaha bersungguh-sungguh dan kreatif dalam pemasaran. Pada masa sama, jalinan hubungan dengan pelanggan harus positif kerana mereka tunggak kejayaan Radiusite selama ini.

Tulang belakang perniagaan dan keluarga

Sejak menjual tudung menerusi Internet, A’tikah mengakui suaminya Iskandar penasihat dan menjadi tulang belakang dalam perniagaannya. Malah dialah yang menghasilkan laman sesawang dan melakukan kerja operasi seperti pembungkusan dan pengeposan barang.

“Iskandar banyak memberikan idea dan nasihat dalam merangka hala tuju perniagaan. Walaupun kelihatannya saya lebih menonjol, saya tidak menafikan di sebalik kejayaan dan jatuh bangun Radiusite ada dia di belakang saya,” ujarnya yang memberikan tumpuan kepada rekaan tudung dan busana serta pemilihan fabrik.

Selain bertindak sebagai penasihat, Iskandar turut membantu menjaga kedua-dua anak mereka Ayra, 3, dan Aydeen yang berusia setahun sekiranya A’tikah perlu ke butik. Walaupun mempunyai pembantu rumah, dalam hal penjagaan anak A’tikah banyak menyerahkan tugasan ini kepada suaminya. Mujur suaminya sangat memahami dan membantu dalam hal rumah tangga.

“Saya bersyukur dikurniakan suami yang sangat memahami. Dia bukan setakat menjadi penasihat dalam perniagaan tetapi juga membantu dalam hal rumah tangga. Dengan kesibukan setiap hari mengurus butik saya tidak dapat bayangkan sekiranya Iskandar tidak ada membantu saya,” katanya.

Sertai Minggu Fesyen Manchester 2016

Diberi peluang menyertai Minggu Fesyen Manchester 2016 adalah pengalaman terindah bagi A’tikah. Sebelum ini mereka sudah dijemput bagi menjayakan minggu fesyen Mouslema itu namun dia keberatan kerana belum bersedia.

Namun peluang yang diberikan ini tidak lagi mampu dilepaskan dan akhirnya A’tikah dan suami bersepakat menyediakan 20 helaian busana dan tudung yang diperagakan di pentas peragaan pada 29 hingga 30 Oktober 2016 lalu.

“Memang sudah lama saya impikan untuk beraksi di United Kingdom dan melihat jenama Radiusite dikenali di sana. Insya-Allah ia sebagai permulaan yang baik untuk 2017 dan mengharapkan masa depan jenama ini lebih cerah di sana,” katanya tersenyum gembira.

Selain tudung dan busana, A’tikah juga sudah mengeluarkan produk terbaru susu kambing Rayden yang boleh dibeli menerusi stokis dan ejen. Malah dia juga dalam perancangan mengeluarkan produk kosmetik gincu yang masih dalam peringkat kajian.

“Sengaja kami beralih ke bidang makanan dengan penghasilan susu kambing dan kini gincu pula. Semua dilakukan bagi mengembangkan warisan perniagaan Radiusite ke tahap yang lebih tinggi. Namun tudung dan busana tetap menjadi keutamaan kerana pelanggan sendiri sudah mengenali Radiusite sebagai jenama tudung berkualiti dan menjadi pilihan ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 1:05 PM