TIGA rona menawan koleksi Tanda Cinta Kami Radiusite.
TIGA rona menawan koleksi Tanda Cinta Kami Radiusite.
Siti Zarinah Sahib

Rekaan tudung dan selendang yang dihasilkan jenama ini tidak pernah mengecewakan. Malah laman sesawang yang menyediakan koleksi terkini jenama Radiusite ini dikunjungi pelanggan hampir setiap saat dan minit.

Di butik pula, pelanggan sanggup beratur bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang memiliki corak, warna serta rekaan terkini yang diilhamkan pengasas jenama ini A’tikah Ash’ari.

Mempunyai lebih 700,000 pengikut di Facebook dan 386,000 di Instagram menjadikan Radiusite antara jenama yang digemari rakyat Malaysia. Memiliki peminat tegar yang nyata memberikan sokongan sejak mula melancarkan jenama ini sekitar 2008, A’tikah sangat bersyukur kerana memiliki pelanggan yang sentiasa berada di belakangnya dalam keadaan senang mahupun susah.

Sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang tidak jemu memilih tudung jenama ini, Radiusite menampilkan koleksi terkini Tanda Cinta Kami (TCK) yang sudah berada di semua butik seluruh Malaysia iaitu di Bangi, Shah Alam, Rawang dan Johor Bahru serta dijual menerusi laman sesawang www.radiusite.com.my.

Jelas A’tikah, keistimewaan tudung TCK pada potongan yang menyerlahkan kelainan perincian tudung yang pastinya memberikan penampilan berbeza kepada wanita. Jika sebelum ini Radiusite terkenal dari segi jahitan manik, batu permata dan renda yang diletakkan begitu teliti pada tudung, untuk TCK ia turut menghadirkan rekaan yang sama.

“Tudung TCK didatang­kan dalam kotak menarik dan peminat boleh menjadikannya sebagai bingkisan buat yang tersayang sama ada untuk kakak, adik, isteri atau ibu tercinta. Ia hadir dalam tiga rekaan yang mampu menambat hati wanita terutama untuk penggemar tudung segera dua muka,” katanya.

Sebagai tanda cinta buat yang tersayang, ketiga-tiga tudung berpotongan dua muka (tudung dua lubang yang disarung dua kali) inspirasi daripada wanita hebat di sisi Rasulullah SAW. Tudung dua muka merah Khadijah direka sebagai mengangkat kehebatan isteri Rasulullah SAW sebagai pejuang Islam pada zaman baginda. Dengan memilih nama Khadijah untuk tudung segera ini diharap sesiapa juga dapat mencontohi kemuliaan peribadi Khadijah yang tiada tolok bandingnya.

Tudung dua muka coklat Aisyah pula nama yang dipilih berdasarkan kemuliaan Aisyah, isteri Rasulullah SAW yang mendapat gelaran al-Humairah atau putih kemerah-merahan. Wanita ini tidak penah mengeluh walaupun menempuh pelbagai cabaran. Kecekalan dan ketabahan Aisyah menghadapi dugaan seperti fitnah dalam peristiwa HadithulIfqun wajar dijadikan contoh semua wanita.

Rekaan tudung segera biru Fatimah pula mengangkat kemuliaan puteri kesayangan Nabi Muhammad yang mendapat gelaran al-Sidiqah (wanita terpercaya), al-Thahirah (wanita suci) al-Mubarakah (yang diberkati Allah) dan gelaran yang sering disebut-sebut iaitu Fatimah al-Zahrah (bunga yang mekar semerbak). Fatimah sering diangkat sebagai idola wanita sepanjang zaman.

Bagi A’tikah, pemilihan ketiga-tiga nama besar pada zaman Rasulullah ini juga diharap dapat dijadikan inspirasi wanita masa kini agar bersemangat, cekal dan tabah mengharungi kehidupan.

Selain pembungkusan menarik, bersama helaian tudung ialah anak tudung hitam Aminah dan peniti eksklusif Radiusite yang diberikan percuma manakala baucar jenama lain bernilai RM150 turut disertakan.

Untuk maklumat lanjut, layari Instagram @radiusite dan Facebook Radiusite dengan hashtag #tandacintakamiRD yang turut dimuatkan video dan temu ramah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2017 @ 5:03 AM