WANY berasakan diri masih hijau, kemampuan diri tidak setanding.
WANY berasakan diri masih hijau, kemampuan diri tidak setanding.
Michelle Gun


Baru setahun bergelar penyanyi, Wany Hasrita bertuah apabila single sulungnya, Menahan Rindu bakal mara ke pentas Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32), Februari depan.

Bagi pemilik nama sebenar Nurshazwany Hasrita Hasbullah itu, pencapaian terbabit bagaikan mimpi kerana tidak pernah terlintas di fikiran karier seninya berjalan lancar.

“Sampai sekarang saya masih tak percaya Menahan Rindu dicalonkan dalam AJL32.

“Perasaan gementar sememangnya ada kerana ini kali pertama membuat persembahan di pentas besar malah ia single sulung saya,” katanya.

Penyanyi berusia 25 tahun ini mengakui tertekan menanti hari persembahan kerana sedia maklum peminat meletakkan harapan tinggi terhadapnya.

“Saya mahu persembahan nanti nampak eksklusif dan gah, namun ia masih dalam perbincangan kerana perlu menunggu cadangan daripada TV3. Susunan lagu pun belum buat lagi.

“Mulai sekarang, saya perlu menjaga kesihatan dan melakukan persiapan agar dapat memberikan persembahan terbaik nanti,” katanya.

Di pentas AJL32, Wany bakal berdepan saingan hebat apabila Khai Bahar, Haqiem Rusli, Ara Johari dan penyanyi senior Dayang Nurfaizah, Altimet serta Faizal Tahir turut beraksi.

Bagaimanapun, Wany enggan melihat finalis lain sebagai pesaing kerana menganggap tahap kemampuan dirinya tidak setanding dengan mereka.

“Saya masih hijau dalam bidang ini sedangkan mereka sudah terkenal dan ada nama.

“Saya fokus mahu buat yang terbaik dan jadikan pentas AJL32 sebagai pengalaman.

“Diharapkan, selepas ini ada rezeki lagi untuk ke pentas AJL seterusnya,” katanya.

Selepas Menahan Rindu, Wany memperkenalkan single baru Rintihan Rindu yang turut diangkat sebagai lagu tema drama bersiri Jurnal Suraya.

Klip video Rintihan Rindu yang berlatarkan keindahan laut dan alam semula jadi mencecah lebih 4.5 juta tontonan di YouTube sejak dimuat naik 19 Oktober lalu.

Penampilan Wany memperagakan busana rekaan Jimmy Couture dalam klip video berkenaan mendapat pujian ramai kerana kelihatan ayu.

“Alhamdulilah, ramai penonton memberi maklum balas positif terhadap Rintihan Rindu. Malah, ramai memberitahu menyukai klip video lagu ini.

“Idea menghasilkan klip video berkonsepkan nyanyi di tepi laut diketengahkan kerana saya suka alam semula jadi.

“Ada ramai peminat dari Brunei dan Indonesia menghantar mesej peribadi di media sosial memberitahu menyukai lagu saya. Ini membuatkan saya gembira dan menghargai sokongan mereka,” katanya.

Mahu jadi pensyarah

Selain memperkukuhkan namanya dalam industri seni tanah air, Wany turut merancang melanjutkan pengajiannya ke peringkat ijazah sarjana selepas AJL32.

Ogos lalu, penyanyi itu menamatkan pengajian ijazah sarjana muda Sains Perubatan di Management & Science University (MSU) di Shah Alam.

“Saya merancang mengambil ijazah sarjana dalam Perubatan Sains kerana berhasrat menjadi pensyarah.

“Bagaimanapun, buat masa ini saya tidak boleh memberi sebarang kata putus mengenainya kerana mahu fokus terhadap karier nyanyian dulu,” katanya.

Seandainya sudah menyambung pengajian nanti, Wany yakin dapat membahagikan masa belajar dan bekerja dengan baik.

“Difahamkan kelas cuma seminggu sekali, jadi tak ada masalah sekiranya saya mahu terus menyanyi.

“Saya bersyukur keluarga terutama ibu sangat memahami dan sentiasa menyokong usaha ini.

“Tidak pernah terlintas di fikiran akan menceburi bidang seni dan menganggap karier ini sebagai rezeki,” katanya.

Keluar album mini

Dalam pada itu, Wany bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-25 pada 24 Disember ini.

“Sehari sebelum ulang tahun, saya akan menyambutnya bersama kelab peminat.

“Hajat untuk ulang tahun kali ini, saya tidak mahu minta apa-apa, cuma bersyukur dengan sokongan peminat dan penambahan keselesaan hidup.

“Paling penting, saya dapat sentiasa berada di sisi ibu dan keluarga,” katanya.

Mengenai perkembangan terbaru karier seninya, Wany memberitahu bakal mengeluarkan album mini yang memuatkan lima lagu tahun depan.

“Album ini akan memuatkan sebuah lagu tradisional Melayu kerana saya meminati genre berkenaan dan satu lagi lagu duet bersama Tajul,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 4:26 AM