LAGU Fool nyanyian Aina raih lebih 250,000 tontonan di YouTube.
LAGU Fool nyanyian Aina raih lebih 250,000 tontonan di YouTube.
Najiy Jefri


Siapa sangka dalam tempoh lima hari dilancarkan, lagu Inggeris nyanyian Aina Abdul berjudul Fool berjaya meraih tontonan lebih 250,000 di YouTube.

Lebih membanggakan, lagu terbaharu penyanyi berusia 28 tahun itu turut dimainkan di stesen radio di Jepun, baru-baru ini.

Pencapaian itu sekali gus membuktikan bakat dimiliki penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Aina berkata, dia mengetahui lagu Fool dimainkan di stesen radio di negara matahari terbit itu menerusi peminat.

"Saya memang tidak tahu lagu itu dimainkan di stesen radio di sana. Peminat yang maklumkan kerana mereka selalu menggunakan media sosial.

"Selepas diselidik, ada seorang pengguna media sosial berkongsi di Twitter mengenai perkara ini. Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu bagaimana lagu Fool boleh dimainkan di sana. Apa-apa pun saya sangat bersyukur dan terharu.

"Walaupun sekali imbas saja lagu Fool dimainkan dalam tempoh lebih tiga minit, itu pun sudah memadai. Saya tentunya bersyukur memperoleh peluang tidak disangka-sangka," katanya.

Menurut penyanyi lagu Sepi ini, dia memang sudah lama mengimpikan agar lagu yang dibawakan pergi ke peringkat global.

"Walaupun hanya pencapaian kecil, saya anggap ini adalah satu kejayaan. Saya terharu dengan rezeki yang tidak nampak, namun sentiasa dikurniakan Allah.

"Saya tidak akan berhenti berdoa. Saya sentiasa berharap ada peminat yang akan membuat permintaan supaya lagu Fool diputarkan lagi di mana-mana stesen radio," katanya.

Aina berkata, pengiktirafan kecil yang diraih sedikit sebanyak membakar semangatnya menghasilkan lebih banyak lagu Inggeris pada masa akan datang.

Walaupun lagu berbahasa Inggeris diterima ramai, Aina enggan terburu-buru menghasilkan terlalu banyak lagu Inggeris, sebaliknya lebih gemar mengatur langkah demi langkah.

"Apabila Fool dimainkan di stesen radio di luar negara, saya lebih bersemangat menghasilkan lebih banyak lagu Inggeris. Namun, bukanlah bermaksud saya terburu-buru menghasilkan banyak lagu dalam masa terdekat.

"Saya juga perlu fokus kepada lagu lain seperti lagu ketuhanan untuk Ramadan, diikuti lagu Aidilfitri. Saya mempunyai perancangan menghasilkan lagu berentak balada. Selepas itu, barulah saya akan memberikan tumpuan kepada lagu Inggeris.

"Jika boleh, saya mahu peminat mengenali Aina Abdul bukan sebagai penyanyi lagu Melayu saja, tetapi diingati sebagai penyanyi lagu bahasa lain termasuk Inggeris," katanya.

Ditanya mengenai persaingannya dalam Anugerah Juara Lagu Ke-36 (AJL 36) yang bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) malam ini, Aina meletakkan harapan tinggi apabila berjaya membolosi pentas AJL 36 menerusi dua lagu, Sepi dan Nafas Cinta berduet bersama Khai Bahar.

"Sudah tentulah saya meletakkan harapan yang besar. Ini bukan impian saya seorang, tapi seluruh pasukan yang bekerja keras memikirkan keseluruhan konsep persembahan.

"Sebagai penyanyi, saya mempunyai impian besar dan inginkan yang terbaik. Jadi, sudah tentu saya berharap penat lelah berbaloi.

"Apa-apa pun saya berharap penonton AJL 36 dapat menyelami perasaan saya menerusi lagu Sepi dan Nafas Cinta. Doakan kesihatan saya berada dalam tahap baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 6:44 AM