EMPAT pembantu penguasa Jabatan Kastam dibawa masuk ke mahkamah. FOTO Abdullah Yusoff
EMPAT pembantu penguasa Jabatan Kastam dibawa masuk ke mahkamah. FOTO Abdullah Yusoff
Oleh Na'imah Mohamed

Shah Alam: Empat pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini atas 12 tuduhan menerima suapan berjumlah RM129,400 sejak April lalu.

Tertuduh Nor Shafik Shamsinor, 29; Azahar Zainuddin, 32; Che Zulkifli Che Ismail, 29, dan Mohd Izwan Ramli, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan berkenaan di hadapan Hakim Datuk Noradidah Ahmad.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh telah secara rasuah menerima suapan antara RM600 hingga RM42,800 sebagai upah untuk melepaskan kenderaan yang membawa arak yang memabukkan sedangkan pemeriksaan terhadap kenderaan itu.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24 (1) Akta yang sama [Akta 694] yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Noradidah kemudian menetapkan jaminan antara RM5,000 hingga RM10,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula 30 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Oktober 2014 @ 10:57 AM