Abu Bakar (kiri) dan Mohd Nasir dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam  hari ini atas tuduhan menerima suapan pada 29 dan 30 November tahun lalu. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Abu Bakar (kiri) dan Mohd Nasir dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan menerima suapan pada 29 dan 30 November tahun lalu. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque


Shah Alam: Bekas pengarah dan pelukis pelan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Lumpur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan menerima suapan pada 29 dan 30 November tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Datuk Abu Bakar Mohd Yusof, 60, dan Mohd Nasir Mohd Isa@Maidin, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dibacakan di hadapan Hakim Datuk Noradidah Ahmad.

Mengikut pertuduhan, Abu Bakar didakwa menerima suapan berbentuk penginapan di Avani Sepang Gold Coast Resort, Sungai Pelek, Sepang, bernilai RM2,097.28 manakala Mohd Nasir menerima suapan berbentuk sama bernilai RM1,252.80 di tempat yang sama.

Mereka menerima suapan itu daripada Mazlan Jamaluddin sebagai balasan melantik syarikat Warna Generasi Sdn Bhd melaksanakan kontrak kerja pengeluaran bahan batuan, pasir dan mendapan di Empangan Batu, Gombak.

Hakim menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap Abu Bakar dan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap Mohd Nasir manakala 18 November ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 3:30 PM