Aizat Sharif


Alor Setar: Bekas Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi didapati bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini, atas kesalahan meminta dan menerima rasuah pada 2012.

Hakim Zainol Rashid Hussain ketika membacakan keputusan berkata, pihak pembelaan tertuduh, Yaakob Hassan, 49, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Yaakob didakwa meminta suapan sebanyak RM10,000 daripada Jamat Harun pada 13 Oktober 2012 di rumahnya di Kampung Kilim, Mukim Ayer Hangat, Langkawi, sebagai dorongan mencadangkan kepada polis supaya menutup siasatan jenayah terhadap Mohd Shafiq Affandi Jamat.

Bagi pertuduhan kedua pula, Yaakob didakwa menerima suapan sebanyak RM2,000 daripada Ahmad Ridzwan Jamat di Bilik Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi, Jalan Kisap pada 14 Oktober 2012 sebagai dorongan mencadangkan kepada polis supaya menutup siasatan jenayah terhadap Mohd Shafiq Affandi.

Untuk setiap pertuduhan, Yaakob didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 (1) akta yang sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih daripada 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan jika sabit kesalahan.

Zainol bagaimanapun menetapkan 14 Mac hadapan sebagai tarikh keputusan hukuman selepas Yaakob gagal hadir ke mahkamah tadi disebabkan masih lagi berada dalam tahanan untuk siasatan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan dijangka akan dibebaskan pada 13 Mac nanti.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM A Hafiizh Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam, Paramjit Singh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 5:09 PM