GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Bekas Pengurus Kanan Komersil, Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor di sini, tadi, selepas didakwa menerima wang suapan berjumlah RM90,000.

Tertuduh Zulkeflee Abdullah, 54, didakwa menerima suapan daripada seorang pengarah urusan sebuah syarikat sebagai dorongan bagi mengesahkan, mengesyor dan meluluskan permohonan syarikat itu bagi sewaan tapak perniagaan secara promosi di ruang legar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Sibu, Lapangan Terbang Bintulu, Sarawak dan Lapangan Terbang Labuan.

Dia yang berdepan sembilan pertuduhan didakwa menerima rasuah berkenaan antara bulan April 2011 sehingga bulan Ogos 2012.

Tertuduh melanggar peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) [Akta 694] kerana gagal melaporkan kesalahan penyogokan itu kepada pihak SPRM.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 [Akta 694] dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) Akta yang sama.

Tuduhan dibacakan di hadapan hakim Rozilah Salleh oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Natrah Fareha Rahmat.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dan tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM yang berdekatan.

Kes disambung semula pada 16 November hadapan.

caption

Pix 1: ZULKEFLEE didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor,kerana didakwa menerima rasuah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 1:33 PM