Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Seorang kurator Perbadanan Adat Melayudan Warisan Negeri Selangor (PADAT) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam sebentar tadi atas tuduhan mengemukakan dokumen palsu dan menerima suapan berjumlah RM45,140, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Subli Musa, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Noradidah Ahmad.

Mengikut fakta pertuduhan, beliau dituduh memperakui Dokumen Penerimaan Peralatan Muzik dan Pesanan Kerajaan yang palsu bagi pembekalan peralatan muzik tradisional untuk Kumpulan Kesenian PADAT iaitu keyboard Yamaha RM7,140 sedangkan peralatan itu tidak dibekalkan.

Bagi pertuduhan kedua, beliau dituduh menggunakan jawatannya sebagai kurator untuk mendapatkan suapan sebanyak RM38,000, iaitu terbabit secara langsung dengan pembelian peralatan muzik bagi Security Multi Solution yang membekalkan peralatan muzik untuk Kumpulan Kesenian PADAT.

Lelaki terbabit dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Hakim menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan 10 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 11:20 AM