Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, kelmarin, atas kesalahan rasuah, seorang anggota polis dituduh sekali lagi atas kesalahan sama di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, semalam.

Tertuduh, Sarjan Shaharuddin Abdul Shukor, 54, yang bertugas di Unit Keganasan Rumah Tangga Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur dituduh menerima suapan sebanyak RM300 daripada seorang peniaga, November tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya dan meminta dibicarakan dalam prosiding pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Noradidah Ahmad.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa atas kesalahan menerima suapan RM300 daripada Harcharanjit Singh Ranjit Singh, 50, di sebuah restoran di Kepong, jam 10.50 pagi, 3 November tahun lalu.

Suapan itu diterima sebagai dorongan untuk tertuduh melakukan siasatan terhadap laporan polis yang dibuat peniaga terbabit pada 1 November tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 5:02 AM