Oleh Aziman Rosdi

Kelana Jaya: Selepas empat tahun, kelab gergasi Liga Perdana Inggeris Liverpool bakal singgah kembali ke ibu negara bagi aksi persahabatan dengan pasukan pilihan Malaysia pada hujung Julai ini.

Kali terakhir juara Eropah lima kali itu memasukkan Malaysia sebagai destinasi siri Jelajah Asia pra-musim pada Julai 2011 yang menyaksikan mereka menewaskan skuad negara 6-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, tarikh sebenar dan venue perlawanan belum ditentukan, namun Liverpool yang kini dikendalikan Brendan Rodgers sudah menyuarakan hasrat untuk bertemu peminat Malaysia.

“Ada berita baik untuk peminat Liverpool kerana mereka bercadang berkunjung ke Malaysia, namun ia belum diputuskan secara rasmi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusi Mesyuarat Exco FAM semalam.

Jika rancangan itu menjadi kenyataan, peminat The Reds boleh menyaksikan aksi barisan bintang seperti Daniel Sturridge (gambar), Mario Balotelli, Philippe Coutinho, Raheem Sterling dan Jordan Henderson.

Bagaimanapun mereka terlepas bertemu Steven Gerrard yang bakal menyertai kelab MLS LA Galaxy Julai ini. Kapten itu juga tidak hadir bersama rombongan Liverpool ke Malaysia pada 2011 akibat kecederaan.

Pada pertemuan sebelum ini, Malaysia dibimbing Datuk K Rajagobal mampu memberi tentangan hebat menerusi gol Mohd Safee Sali dan Safiq Rahim manakala enam gol Liverpool dihasilkan pemain yang kini sudah tidak bersama kelab iaitu Charlie Adam, David Ngog (dua gol), Maxi Rodriguez (dua gol) dan Dirk Kuyt.

Sementara itu FAM memaklumkan masih belum menerima persetujuan Ivory Coast untuk mengadakan aksi persahabatan antarabangsa pada 28 Mac, namun badan induk itu sudah berbincang dengan Syria untuk menjadi pasukan pengganti sekiranya juara Piala Negara-Negara Afrika 2015 itu menolak pelawaan Harimau Malaya.

Menurut jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh, beliau masih berharap Ivory Coast dapat menerima pelawaan itu biarpun FAM sudah mempunyai alternatif lain.

“Apa yang saya tahu kita akan menentang Ivory Coast 28 Mac ini, namun setakat ini masih lagi 70 peratus berjaya cuma perlawanan dengan Syria ini saya baru dimaklumkan,” katanya ketika ditemui semalam.

Mengulas pemilihan pemain bagi aksi perlawanan itu yang dijangka berlangsung di Stadium Perak, Ipoh, Dollah berkata, beliau masih dalam proses menilai pemain dan mungkin memanggil penyerang skuad bawah 22 tahun, S Kumaahran.

“Saya masih ada masa memilih pemain menerusi perlawanan Liga Super, saya tidak khuatir. Malah saya dapat lihat pemain bawah 22 tahun yang menjuarai Piala Emas Bangabandhu, baru-baru ini terutama Kumaahran.

“Walaupun baru berusia 18 tahun, dia menunjukkan kematangan dan prestasi mengagumkan,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 8:40 AM