DANIAL Asri (dua dari kanan) cuba melepasi kawalan pemain Melaka. FOTO SHAFEEQ AHMAD
DANIAL Asri (dua dari kanan) cuba melepasi kawalan pemain Melaka. FOTO SHAFEEQ AHMAD
Nazri Abu Bakar

Melaka: Ketinggalan dua kali tidak mematahkan semangat Selangor sebaliknya bangkit menewaskan Melaka 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.

Selepas meraih kemenangan 3-0 menewaskan UiTM minggu lalu, Melaka nyata berusaha gigih untuk memperbaiki kedudukan di carta liga namun kelebihan selepas dua kali mendahului gagal dipertahankan.

Bagaimanapun, aksi kedua-dua pasukan dilihat lebih berhati-hati tanpa percubaan bahaya daripada skuad tuan rumah dan pelawat menerusi gerakan yang membosankan pada awal babak permainan.

Malah hantaran tidak tepat mahupun dipintas lawan mengisi skrip awal permainan tanpa kreativiti menarik untuk mencipta gerakan gol bagi menghiburkan kira -kira 1,000 penyokong.

Cuma Melaka memiliki peluang jaringan pada minit ke-25 menerusi rembatan Wan Amirul Afiq yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Selangor, Khairulazhan Mohd Khalid tetapi tindakan susulan Sony Norde tidak membuahkan hasil.

Bagaimanapun Melaka kelihatan lebih agresif mengasak pada hujung babak kedua sehingga dihadiahkan sepakan penalti berikutan tindakan Jordan Ayimbila menjatuhkan S Kumaahran yang mudah disudahkan oleh Stefan Nikolic pada minit ke-45 aksi.

Episod kedua meletakkan pelawat pantas berusaha untuk menyamakan kedudukan selepas ketinggalan bagi mengelak kecewa dalam perlawanan terbabit.

Hasilnya bekas penyerang Melaka, Ifedayo Olusegun berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-51 selepas percubaan Brendan Gan ditepis penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat namun singgah di kaki Ifedayo yang mudah menolak masuk gol penyamaan.

Terkejut dengan gol terbabit anak buah jurulatih Zainal Abidin Hassan melakukan dua percubaan menerusi Wan Amirul (m-56) dan Manuel Ott (m-58) namun berjaya diselamatkan Khairulazhan.

Namun skuad Hang Tuah bangkit mendahului menerusi tandukan Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-59 selepas menanduk masuk sepakan sudut S Kumaahran.

Ketika kelihatan selesa mendahului Ifedayo sekali lagi berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-70 selepas mengutip hantaran lintang pemain gantian Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi.

Akhirnya kelebihan dua kali mendahului gagal dipertahankan oleh Melaka berikutan Muhammad Syahmi Safari berjaya menjaringkan gol kemenangan skuad Merah Kuning pada minit ke-87 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 12:29 AM