DR Ang (tengah) selepas mengumumkan pemenang kempen Nissan Buy 1 Win 1.
DR Ang (tengah) selepas mengumumkan pemenang kempen Nissan Buy 1 Win 1.

Petaling Jaya: Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) mahu melonjakkan penguasaan pasaran jualan jenama kenderaan Nissan sehingga sembilan peratus bersandarkan beberapa model terbaru yang dilancarkan pada tahun ini.

Pengarah Kanan Jualan dan Pemasarannya Datuk Dr Ang Bon Beng berkata, pihaknya akan lebih agresif dalam merancang strategi berbeza termasuk menawarkan beberapa barisan model terbaru yang bakal melonjakkan penguasan pasaran pada 2015.

Menurutnya, jualan tahun lalu mencatatkan penurunan sehingga satu peratus penguasaan pasaran berbanding 2013 yang mana mencatatkan penjualan sehingga 45,000 unit.

“Bagi tahun ini ia mungkin berbeza kerana kami memperkenalkan model dipertingkatkan Nissan Almera, selain melancarkan generasi ketiga kenderaan utiliti sukan (SUV), Nissan X-Trail.

“Malah pada hujung tahun ini, kami akan membawa model trak pikap terbaru Nissan Navara sekali gus ia akan membantu penjualan kenderaan jenama Nissan di Malaysia,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada lima pemenang bagi kempen Nissan Buy 1 Win 1, di sini baru-baru ini.

Pada masa sama, Ang menyampaikan hadiah kepada pemenang iaitu Tan Song Ping, Lee Ai Lee, Uzairah Abdul Majid, Zainudin Ahmad dan Pang Poon King.

Kempen itu memberi peluang kepada mereka memenangi kenderaan baru selepas membeli jentera Nissan membabitkan Grand Livina 1.8 liter, X-Trail 2.0, Navara 2.5 LE dan Sylphy 1.8 E.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 10:22 AM