NISSAN Sylphy 1.8 VL CVT
NISSAN Sylphy 1.8 VL CVT
LAMPU isyarat sisi yang jelas.
LAMPU isyarat sisi yang jelas.
JERIJI depan yang besar sungguh menonjol.
JERIJI depan yang besar sungguh menonjol.
ENJIN CVTC aci sesondol berkembar yang menjimatkan minyak.
ENJIN CVTC aci sesondol berkembar yang menjimatkan minyak.
SUIS kawalan maklumat pada stereng pemandu.
SUIS kawalan maklumat pada stereng pemandu.
Oleh Badrila Jamlus

Model Nissan Sylphy kali pertama diperkenalkan di pasaran negara ini pada 2008, dan kali ini Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) memperkenalkan model generasi ketiga yang melihatkan beberapa pembaharuan menyeluruh dari segi reka bentuk luaran dan dalamannya.

Model itu yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand untuk pasaran Malaysia juga antara model global utama Nissan yang dipasarkan di kira-kira 120 negara, termasuk Jepun, China, Thailand dan Australia (sebagai Pulsar) serta Amerika Syarikat sebagai Sentra.

Sylphy dibangunkan di atas platform serba baru dan dilengkapi sistem pacuan lebih cekap menerusi padanan enjin 1.8 liter MRA8DE Twin CVTC dan sistem transmisi XCVT generasi terbaru. Semua pembaharuan itu mampu memberi penjimatan penggunaan bahan api 16 peratus lebih baik berbanding model sebelumnya.

Dalam sesi pandu uji Vroom baru-baru ini, karakter model sedan empat pintu itu jelas dapat dilihat menerusi gril depan yang lebih lebar diintegrasikan dengan enam lampu utama LED, sekali gus memberi rekaan menarik kepada Sylphy baru.

Melihat dari arah sisi pula, garis badan kereta itu menyaksikan garis lekuk dapra depan hingga ke lampu belakang yang menampilkan reka bentuk ladam kuda yang besar bersama lampu LED yang jelas hinggakan ada rakan penulis menyangka ia model Nissan Teana.

Susulan rekaannya yang lebar, keselesaan ruang dalaman ditingkatkan dengan menambah 30mm untuk ruang bahu dan sebanyak 680mm pada ruang kaki, sekali gus menjadikan kapasiti ruang kargonya sehingga 510 liter.

Untuk ruang kabinnya, panel instrumen menampilkan ciri kekemasan dengan kualiti tinggi, termasuk paparan pelbagai maklumat pada panel meter yang boleh dikawal pada butang di stereng kereta, selain suis kawalan audio yang memberi keselesaan kepada pemandu untuk memberi tumpuan ketika memandu.

Bagaimanapun, skrin 4.3 inci pada sistem audio yang juga berfungsi sebagai monitor untuk kamera undur mungkin boleh dipadankan dengan skrin lebih besar bagi memudahkan penglihatan pemandu ketika mengundurkan kenderaan.

Kabin Sylphy baru menawarkan pengalaman selesa dan senyap menerusi penambahbaikan yang mengurangkan bunyi bising, getaran dan kekasaran (NVH) ketika memandunya. Ciri lain termasuk sistem Kawalan Suhu Dua Zon Automatik yang menghasilkan persekitaran selesa untuk semua penumpang.

Model itu dikuasakan oleh enjin Twin CVTC yang baru dengan kawalan injap pemasaan berterusan (CVTC) pada bahagian pengambilan dan ekzos serta dipadankan dengan kotak gear XCVT (Xtronic Continuously Variable Transmission).

Sylphy turut dilengkapi enam beg udara SRS, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) bersama sistem kawalan keselamatan seperti sistem anti-brek (ABS), sistem pengagihan brek elektronik (EBD), sistem bantuan brek (BA) dan sistem kawalan cengkaman (TCS) yang membantu pemandu mengawal kenderaan serta mengelak bahaya dalam situasi kecemasan.

Tidak ketinggalan juga, model itu dipadankan dengan suis penghidup butang tanpa kunci dan ciri lampu yang bernyala secara automatik apabila ditempat gelap serta padanan rim aloi bersaiz 17 inci yang menjadikan model itu kelihatan lebih sporty.

Bagi model terbaru ini, hanya dua varian ditawarkan iaitu 1.8 E dan 1.8 VL dengan spesifikasi penuh. Ada lima pilihan warna iaitu merah (Cayenne Red), hitam (Premium Black), emas (Bronze Gold), putih Diamond White) dan perak (Brilliant Silver).

Harga di atas jalan tidak termasuk insurans Nissan Sylphy serba baru ialah RM111,900 untuk 1.8E CVT dan RM121,900 bagi varian 1.8 VL CVT. Ia hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000 km yang mana tiba dulu.

Kesimpulannya, Nissan Sylphy boleh menjadi pilihan kepada mereka yang mencari sebuah kereta eksekutif buatan Jepun yang ditawarkan pada harga berdaya saing dan dipadankan dengan pelbagai ciri sesuai dengan cita rasa rakyat tempatan sebagai kegunaan harian ke tempat kerja.

INFO

NISSAN SYLPHY 1.8 VL CVT

ENJIN: 1,798cc, DOHC, Twin CVTC, 16 injap

TRANSMISI: XTRONIC CVT

KUASA MAKSIMUM: 131hp @ 6,000rpm

TORK MAKSIMUM: 174Nm @ 3,600rpm

CIRI KESELAMATAN: ABS, EBD, BA, enam beg udara SRS, Vehicle Dynamic Control, Traction Control System

HARGA: RM121,900 (tidak termasuk insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 5:07 AM