NICHOLAS memperkenalkan produk Ironman 4X4.
NICHOLAS memperkenalkan produk Ironman 4X4.
Lizam Ridzuan


Tan Chong Motor Holdings Berhad (TCMH) melalui anak syarikatnya, Rustcare Sdn Bhd pengedar eksklusif aksesori kenderaan pacuan empat roda jenama Ironman 4X4 di Malaysia menyasarkan sebanyak dua peratus jualan daripada pelanggan yang membeli Nissan Navara untuk 2016.

Pengarahnya, Nicholas Ling Ing Kiat berkata, produk aksesori yang diimport dari Australia itu baru dilancarkan minggu lalu dan menawarkan beberapa pakej menarik kepada pengguna untuk dipasang pada kenderaan mereka.

“Melihat kepada peningkatan permintaan terhadap aktiviti lasak di Malaysia, kami adalah syarikat jualan automotif pertama di negara ini menawarkan aksesori Ironman 4X4 terutama untuk model serba baharu Nissan NP300 Navara.

“Apa yang menarik ialah pelanggan bakal menikmati diskaun sebanyak 15 peratus sebagai harga pengenalan yang boleh dimasukkan sekali ke dalam pembiayaan trak pikap mereka daripada pihak bank,” katanya pada majlis pelancaran produk itu di sini, baru-baru ini.

Pemasangan produk itu pada kenderaan akan meningkatkan keselamatan, prestasi dan gaya mengikut keperluan penggunaan kenderaan seperti yang digunakan di Australia untuk tujuan rekreasi, kenderaan perlombongan dan ketenteraan di lebih 160 buah negara.

Antara aksesori yang ditawarkan ialah ‘bull bar’, ‘rear protection’, ‘side steps & rails’ dan suspensi dengan tiga pakej bermula daripada RM11,000 untuk Challenger Pack, Challenger Plus Pack (RM15,500) dan Adventurer Pack (RM22,000).

Setiap pemasangan pada Navara baru didatangkan dengan waranti selama tiga tahun atau 100,000 kilometer dan ia juga boleh dipasang kepada mereka yang sudah memiliki kenderaan itu sebelum ini.

Aksesori itu boleh didapati di semua rangkaian pusat servis utama Nissan di Malaysia dan bakal membawa masuk aksesori penuh pada tahun depan yang akan dijual untuk semua jenama trak pikap di negara ini.

Sementara itu Karnival 4WD Nissan berlangsung pada 14 hingga 15 Mei dan 21 hingga 22 Mei ini yang memberi peluang pengunjung memandu uji keupayaan Nissan X-Trail dan trak pikap Nissan NP300 Navara pada laluan direka khas di beberapa lokasi pusat 4S ETCM terpilih seluruh negara.

Melalui aktiviti ‘Book and Win’ pelanggan yang menempah mana-mana kenderaan Nissan sepanjang karnival itu membolehkan mereka memenangi televisyen LED Sharp 40 inci dan pelbagai hadiah menarik lain bernilai sehingga RM45,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 5:00 AM