DR Ang  (tiga dari kiri) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Riang Raya.
DR Ang (tiga dari kiri) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Riang Raya.
Oleh Erywan Norshal

Kuala Lumpur: Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM), pemasang dan pengedar kenderaan Nissan di negara ini mencatat pertumbuhan sehingga 8.5 peratus dengan jualan sebanyak 23,294 unit dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Dr Ang Bon Beng berkata, prestasi jualan itu didorong kekuatan beberapa model Nissan khususnya model sedan Almera Nismo dan kenderaan SUV, Nissan X-Trail.

Menurutnya, Nissan Almera masih kekal sebagai model popular dalam kalangan rakyat tempatan, selain Nissan X-Trail yang mencatat peningkatan tempahan sejak diperkenalkan Januari lalu.

“Enam bulan pertama tahun ini, kami mencapai sasaran yang diperlukan dan yakin jualan ini meningkat sehingga hujung tahun ini.

“Malah, kami mahu mencapai sasaran sehingga tujuh hingga lapan peratus penguasaan keseluruhan pasaran kenderaan pada tahun ini biarpun berdepan kesukaran,” katanya selepas ditemui di Majlis Riang Raya ETCM, di sini, semalam.

Ang berkata, pihaknya juga akan memperluaskan rangkaian perkhidmatan servis dengan menumpukan untuk peningkatan pengalaman pelanggan pada semua tahap.

“Justeru, kami mahu menaik taraf pusat pameran kepada pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti). Kami kini mempunyai 100 pameran yang 70 daripadanya adalah milik ETCM.

“Setiap tahun kami menyasarkan lima cawangan dinaik taraf kepada Pusat 3S dengan yang terbaru akan dibuka di Glenmarie, Shah Alam tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Ang berkata, pihaknya akan memperkenalkan trak pikap terbarunya, Nissan Navara yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand pada penghujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2015 @ 6:21 AM