LORI membawa muatan ayam terjunam ke dalam semak. FOTO ihsan JPAM
LORI membawa muatan ayam terjunam ke dalam semak. FOTO ihsan JPAM
Oleh Junaidi Ladjana

Tamparuli: Pemandu dan kelindan lori yang sarat membawa muatan ayam hidup nyaris maut apabila lori tiga tan dinaiki mereka terbabas lalu terjunam ke dalam semak setinggi hampir 2 meter di Jalan Tamparuli berhampiran Kampung Bawang Tamparuli, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, pemandu lori berusia 46 tahun dan kelindan lori berusia 40 tahun parah dan dikejarkan ke Hospital Tuaran, di sini, untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, lori dalam perjalanan dari Kampung Bawang Tamparuli menuju ke pekan Inanam untuk menghantar bekalan ayam namun sebaik tiba di lokasi kejadian lori berkenaan hilang kawalan lalu terbabas sebelum terjunam ke dalam semak setinggi dua meter.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ( JBPM) Sabah, Mohd Affend K Ramin berkata, pihak menerima panggilan kecemasan pada 9.32 malam dan sepasukan anggota bomba dari balai bomba Tuaran dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Pemandu dan kelindan lori tersepit sebelum anggota bomba mengeluarkan mangsa.

"Kedua-dua mereka yang mengalami kecederaan kemudian dibawa ke Hospital Tuaran untuk rawatan lanjut, " katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 11:38 AM