Paras Sungai Tamparuli semakin cetek dan kering selepas tidak berlaku hujan lebat. FOTO JOHARY INDAN
Paras Sungai Tamparuli semakin cetek dan kering selepas tidak berlaku hujan lebat. FOTO JOHARY INDAN
Johary Indan


Tamparuli: Paras air Sungai Tamparuli, di sini, hampir kering di beberapa bahagian akibat cuaca panas dan tiada hujan lebat sejak dua bulan lalu.

Sungai Tamparuli bermula dari Kampung Romokon, Ulu Kiulu dan mengalir ke Sungai Tuaran sepanjang 80 kilometer, hanya mengalami sekali hujan lebat pada Jumaat namun tidak mengubah paras air.

Tinjauan mendapati hujan lebat selama itu tidak memberi sebarang perubahan paras air Sungai Tamparuli yang menjadi sumber utama Loji Rawatan Air Telibong untuk diproses sebelum disalurkan kepada pengguna di Tamparuli dan Tuaran.

Malahan, beberapa bahagian pada sungai itu sudah kering sehingga menampakkan beting pasir dan batu yang selama ini tidak kelihatan.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, hujan dalam tempoh sejam tidak mampu memberi kesan terhadap paras sungai.

"Lebih lagi paras sungai ketika ini semakin kering dan cetek.

"Paras sungai hanya akan kembali seperti biasa apabila berlaku hujan lebat dari Ulu Kiulu secara berterusan," katanya.

Sungai Tamparuli yang menerima aliran air dari Ulu Kiulu sehingga Muara Tuara dengan saiz lembangan seluas 988 kilometer banyak berjasa kepada kehidupan dan pembangunan rakyat Sabah.

Tangau berkata, Sungai Tamparuli adalah sumber air yang dibekalkan kepada Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Pelabuhan Sepanggar, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Politeknik Kota Kinabalu; Institut Latihan Perindustrian dan taman perumahan.

Beliau berkata, empat loji rawatan air dan satu takungan air wujud di Telibong yang mengambil air dari Sungai Tamparuli untuk diproses setiap hari.

Empat loji itu ialah Loji Rawatan Kampung Bawang berkeupayaan membekalkan tiga juta liter air sehari, Loji Rawatan Telibong (75 juta liter sehari); Loji Rawatan Telibong fasa satu (80 juta liter sehari) dan Loji Rawatan Telibong fasa dua (80 juta liter sehari).

Katanya, jika tidak berlaku hujan lebat dalam tempoh terdekat, simpanan air di takungan Telibong bakal terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 1:19 PM