Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Sukan SEA sudah dilabel sukan bertaraf rendah sejak dulu lagi dan untuk itu, pemberian imbuhan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) kepada pemenang pingat perak serta gangsa adalah tidak relevan.

Demikian pandangan pengkritik sukan tanah air Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim (gambar) yang menolak cadangan agar pemberian SHAKAM turut diberikan atlet yang memenangi perak serta gangsa pada temasya dwi tahunan itu.

“Sukan SEA sebenarnya adalah temasya sukan yang daripada segi mutunya adalah rendah.

“Insentif (pingat perak dan gangsa) tidak wajar diberikan ketika mutu sukan di negara sejak kebelakangan ini boleh dikatakan agak mengecewakan.

“Setiap atlet negara sebaliknya perlu diingatkan untuk mencapai kejayaan jauh lebih tinggi, sekurang-kurangnya Sukan Asia.

“Sebab kita pernah meraih kejayaan di tahap jauh lebih tinggi terutama di Sukan Komanwel. Kalau hanya mengharap pingat dari Sukan SEA tak bolehlah,” katanya.

Arena Metro sebelum ini melaporkan cadangan serta sokongan beberapa pihak yang bersetuju andai pemenang pingat perak dan gangsa di Sukan SEA diberikan insentif SHAKAM berbanding hanya pemenang pingat emas.

Malah, atlet negara yang memenangi pingat emas pada temasya dwi tahunan itu juga menyokong cadangan berkenaan.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi pula tampil dengan cadangan SHAKAM boleh diberikan kepada pemenang pingat perak dan gangsa menerusi acara sukan kompetitif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 7:34 AM