PANDELELA (kiri) turut sokong pemberian insentif.
PANDELELA (kiri) turut sokong pemberian insentif.
Oleh Saiful Affendy Sapran dan Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Beberapa pemenang pingat emas Sukan SEA menyokong cadangan supaya atlet negara yang memenangi pingat perak dan gangsa pada temasya dwi tahun iaitu turut diberikan insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

Mereka sependapat sekiranya pemberian insentif diberikan kepada rakan atlet yang meraih pingat selain emas, ia akan menyuntik motivasi kepada atlet berkenaan.

Pemenang pingat emas lempar cakera di Sukan SEA Myanmar Muhammad Irfan Shamsuddin berkata, insentif wajar diberi kepada pemenang pingat perak serta gangsa kerana mereka juga mewakili negara.

“Saya rasa setiap atlet mahu memberikan yang terbaik kepada negara. Jika perak dan gangsa yang terbaik dapat disumbangkan mereka, maka memang wajarlah juga untuk menerima insentif SHAKAM.

“Saya pernah bertanya mengenai perkara ini kepada beberapa rakan di luar negara dan mereka beritahu pemberian insentif memang diberikan kepada setiap pemenang pingat,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Sementara itu, pemenang lima pingat emas di Sukan SEA, Pandelela Rinong berkata, ada atlet yang sekadar membawa pulang perak dan gangsa mengeluh kepadanya kerana tidak mendapat insentif SHAKAM.

“Saya rasa mereka juga wajar menerimanya sebab ia dapat meningkatkan motivasi dan memberi ruang kepada atlet muda,” katanya yang meraih emas di Sukan SEA 2007 Thailand, 2009 Laos, 2011 Indonesia dan 2013 Myanmar.

Bagi pemenang pingat emas beregu wanita Sukan SEA 2013 Myanmar, Vivian Hoo, cadangan supaya pemenang pingat perak dan gangsa turut menerima SHAKAM adalah amat baik sekali.

“Ia sedikit sebanyak akan memberikan motivasi kepada mereka untuk terus mencuba selepas ini di temasya yang sama pada masa akan datang,” katanya.

Pemenang pingat emas acara pelayaran di Sukan SEA 2013 Myanmar, Khairulnizam Afendy berkata, kurang wajar jika tidak memberikan atlet yang meraih perak dan gangsa insentif SHAKAM.

“Mereka juga bertungkus-lumus untuk mengharumkan nama negara. Sepatutnya kita perlu adil dengan kesemua atlet yang meraih pingat mendapat insentif SHAKAM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 6:56 AM