Kuala Lumpur: Bekas pelari pecut negara Nazmizan Mohamad berharap polisi pemberian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) kepada pemenang pingat perak dan gangsa dapat dikekalkan pada setiap edisi Sukan SEA selepas ini.

Beliau yang mula mencetuskan isu mendesak agar SHAKAM wajar juga diberikan kepada pemenang pingat perak dan gangsa menerusi laporan khas Arena Metro 1 Februari lalu berkata, sekiranya dikekalkan, pastinya berita itu cukup menggembirakan buat atlet negara yang bersaing di temasya sukan dwi tahunan itu.

“Saya difahamkan pemberian insentif turut diberikan kepada pemenang perak dan gangsa kali ini kerana sasaran di Sukan SEA Singapura dibuat berdasarkan pungutan pingat keseluruhan dengan mengikut peratusan, bukan jumlah emas diperoleh.

“Tapi saya rasa, lebih elok sekiranya insentif ini dikekalkan, bukan saja ketika kita menjadi tuan rumah pada Sukan SEA 2017, tapi berterusan sampai bila-bila.

“Kita perlu menerima hakikat saingan di Sukan SEA sudah menjadi semakin mencabar.

“Tidak kisah berapa jumlah ganjarannya, asalkan atlet yang memenangi perak dan gangsa tidak diketepikan daripada diberikan ganjaran,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan pemberian insentif kali ini bukan hanya diberikan kepada pemenang pingat emas, malah turut membabitkan mereka yang memenangi perak dan gangsa.

Berdasarkan insentif SHAKAM sebelum ini, setiap atlet akan menerima RM20,000 bagi emas pertama dan RM10,000 untuk emas berikutnya manakala pemenang perak dan gangsa tidak menerima sebarang ganjaran.

Tetapi untuk kali ini, pemenang perak diberikan insentif RM3,000 dan RM1,500 bagi perak seterusnya manakala gangsa RM1,000 dan RM500 bagi gangsa seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 9:00 AM