Oleh Saiful Affendy Sapran dan Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Sukan SEA bukan temasya sukan bertaraf rendah dan untuk itu Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) juga wajar diberi kepada pemenang pingat perak dan gangsa.

Itu rangkuman reaksi daripada persatuan sukan kebangsaan yang mendesak supaya pemberian SHAKAM turut diberikan kepada atlet yang mengerah keringat untuk meraih pingat selain kilauan emas pada temasya dwi tahun itu.

Bagi Timbalan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Ahmad Janius Abdullah (gambar), seseorang atlet tidak kira dalam acara sukan apapun pastinya meletakkan sasaran tinggi untuk meraih pingat emas.

“Selepas mencuba sedaya upaya, mereka sekadar berpuas hati dengan perak atau gangsa. Kesungguhan dan semangat mereka untuk meraih emas wajar dibayar dengan imbuhan yang setimpal.

“Mungkin ada yang menganggap atlet tidak layak menerima imbuhan kerana Sukan SEA temasya bertaraf rendah, tetapi saya tidak setuju.

“Angkat berat sebagai contoh, taraf sukan ini sebenarnya lebih tinggi daripada Sukan Komanwel kerana atlet yang bertanding di Sukan SEA, terutamanya dari Indonesia dan Vietnam adalah yang bertaraf dunia dan memenangi pingat di Sukan Olimpik,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) Mohamed Jani Ismail berkata, pemberian SHAKAM bukan saja wajar diberikan kepada pemenang pingat perak dan juga gangsa, malah ganjaran sedia ada perlu dikaji semula.

Senada dengan Ahmad Janius, Mohamed Jani menegaskan, tiada atlet yang beraksi dengan nama Malaysia tertera di dada mereka tidak mahu memenangi pingat emas.

“Mereka juga beraksi untuk negara. Tidak perlu membezakan pemberian insentif untuk Sukan SEA dengan temasya sukan lain seperti Sukan Komanwel dan Asia.

“Bukan sudah sampai masanya untuk bagi insentif kepada pemenang pingat perak dan gangsa, tetapi insentif sedia ada juga perlu dinaikkan lagi.

Justeru itu, beliau mencadangkan supaya insentif untuk pemenang pingat perak di Sukan SEA diberikan RM10,000 sementara untuk gangsa pula RM5,000.

“Barulah adil bagi mereka kerana pemenang pingat perak Sukan Komanwel dan Asia mendapat RM40,000 manakala gangsa RM20,000,” katanya.

Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad mempunyai pandangan berbeza dan menganggap Sukan SEA adalah saingan tahap sederhana buat atlet di bawah naungan badan induk itu.

“Pada pendapat peribadi, acara berbasikal hanya akan mensasarkan emas di temasya berkenaan. Jika pelumba mahukan insentif mereka perlu meraih pingat emas.

“Sukan SEA saingan peringkat terendah di luar negara buat atlet berbasikal. Mereka tidak ada pilihan lain dan perlu meletakkan sasaran hanya memenangi pingat emas.

“Kalau saingan peringkat tertinggi seperti Sukan Asia baru boleh kita fikirkan soal insentif ini,” katanya.

Bekas Pengarah Cawangan Hal Ehwal Atlet dan Organisasi Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zaiton Othman menerusi Arena Metro semalam menjelaskan sebelum ini tiada ketetapan dalam pemberian SHAKAM dan ia mungkin boleh berubah, namun beliau kecewa apabila ada atlet mempersoal pelaksanaan pemberian skim itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 6:13 AM