AFP

Hong Kong

Polis Hong Kong semalam melepaskan penyembur lada dan menahan penunjuk perasaan yang membantah kemasukan pelawat dari tanah besar China di dalam sebuah pusat beli-belah.

Lebih 100 orang mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan di bandar Tuen Mun, tidak jauh dari lintasan sempadan ke tanah besar China.

Penduduk tempatan semakin berang dengan jumlah pelawat dari China yang meningkat kerana dianggap mengganggu kehidupan seharian, selain memberi kesan terhadap pengangkutan awam.

Ini berikutan penduduk tanah besar kerap datang ke Hong Kong menaiki kereta api dan mengambil kesempatan membeli barangan keperluan daripada iPad hinggalah susu tepung dengan harga lebih murah, pilihan lebih banyak dan barangan lebih berkualiti selain bijak mengelak membayar cukai ketika pulang.

Bantahan semalam bermula dengan aman, namun sekumpulan aktivis kemudian berpecah dan memasuki pusat beli-belah berhampiran walaupun diberi amaran oleh polis.

Media tempatan melaporkan kira-kira 10 orang ditahan selepas bersikap kasar termasuk mencaci polis dan penduduk tanah besar China sehingga mengakibatkan beberapa kedai terpaksa ditutup awal.

Perkara itu dimaklumkan kumpulan yang menganjur demonstrasi, Hong Kong Indigenous di laman Facebooknya.

“Polis menggunakan penyembur lada dan cota di dalam pusat beli-belah. Ada orang yang cedera dan dikelilingi polis,” katanya.

Kejadian itu yang pertama melihat polis menggunakan penyembur lada sejak beberapa demonstrasi prodemokrasi diadakan di pusat bandar Hong Kong, tahun lalu, yang turut melihat beberapa pertempuran antara polis dengan penunjuk perasaan.

Hong Kong mengenakan sekatan terhadap pelawat dari tanah besar, namun kuota pelancong dinaikkan pihak berkuasa sejak beberapa tahun lalu untuk meningkatkan ekonominya.

Keputusan itu mengakibatkan ketegangan antara penduduk Hong Kong dengan pelawat dari tanah besar.

Mengikut laporan, 10,000 hingga 12,000 peniaga dari China datang ke Tuen Mun dalam tempoh tiga jam selepas pusat beli-belah di situ menawarkan khidmat bas percuma.

Pada 2013, bandar itu melarang orang ramai membawa susu bayi dalam kuantiti besar memasuki tanah besar China.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 5:08 AM