ZAITON pada sidang media mengenai isu EGM MHC 13 Oktober lalu.
ZAITON pada sidang media mengenai isu EGM MHC 13 Oktober lalu.

Kuala Lumpur: Tinggal kira-kira seminggu sebelum berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menerima tamparan hebat daripada Pesuruhjaya Sukan semalam yang mungkin menjejaskan hasrat mereka mengadakan pemilihan pada 13 Februari ini.

Menerusi satu sidang media, Pesuruhjaya Sukan Datuk Zaiton Othman menegaskan, pindaan perlembagaan dilakukan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) badan induk itu di Johor Bahru pada 13 Oktober lalu, tidak teratur kerana gagal mencukupi korum.

Justeru, Zaiton memberi dua pilihan kepada MHC dalam usaha mencari jalan penyelesaian mengadakan proses pemilihan kepimpinan baru.

“Pertama, teruskan AGM pada tarikh ditetapkan 13 Februari dengan menggunakan perlembagaan lama.

“Kedua, mengadakan EGM untuk membincangkan pindaan perlembagaan dengan korum mencukupi,” katanya.

Difahamkan, antara yang dipinda ketika EGM Oktober lalu adalah membabitkan jawatan Timbalan Presiden yang terbuka untuk ditandingi sesiapapun berbanding kebiasaannya diserahkan kepada wanita.

Sementara itu, penyandang Timbalan Presiden Raja Puan Sri Noora Ashikin Raja Abdullah pada sidang media berasa kecewa dengan pindaan perlembagaan itu, terutama membabitkan jawatan Timbalan Presiden yang kini terbuka untuk ditandingi.

“Apa yang nak berebut-rebut (jawatan) sangat? Wanita nak maju, lelaki pun nak maju, kita kenalah bekerjasama,” katanya merujuk kepada tindakan Naib Presiden Kanan Datuk Nur Azmi Ahmad yang mencabar jawatan Timbalan Presiden.

Jelasnya, beliau tetap yakin akan dapat mempertahankan jawatannya itu meskipun hanya mendapat satu undian daripada ahli gabungan berbanding lapan yang diraih Nur Azmi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 6:56 AM