London: Louis van Gaal (gambar) didakwa Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris kerana mengeluarkan kenyataan tidak sepatutnya kepada pengadil Chris Foy bulan lalu, umum badan induk itu kelmarin.

Foy mengadili perlawanan yang menyaksikan skuad kendalian Van Gaal, Manchester United seri tanpa jaringan dengan pasukan divisyen empat Cambridge United pada pusingan keempat Piala FA, 23 Januari lalu.

Selepas perlawanan di Stadium Abbey itu, Van Gaal, yang pasukannya menang 3-0 pada perlawanan ulangan di Old Trafford kelmarin, meluahkan rasa tidak puas hati dengan corak pengadilan Foy.

“Setiap perkara membabitkan perlawanan itu memang tidak memihak kepada kami,” kata pengendali Belanda itu. “Kami perlu datang sejauh ini selain permukaan padang yang teruk.

“Pasukan lawan pula bermain begitu luar biasa dan mereka bertahan dengan sangat hebat. Lihat pula corak pengadilan pada perlawanan.”

Ketika diminta wartawan untuk menerangkan lebih lanjut mengenai kenyataan ditujukan kepada Foy, beliau membalas: “Anda boleh berikan pendapat anda sendiri, tapi saya tidak akan menghuraikannya.”

Kenyataan FA yang dikeluarkan kelmarin berkata: “Pengurus Manchester United didakwa mengeluarkan kenyataan tidak sepatutnya terhadap pengadil.”

Van Gaal diberi tempoh hingga Isnin ini untuk menjawab dakwaan terhadapnya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 9:36 AM