Orang ramai melihat tempat kejadian pemilik kedai perkakasan rumah maut ditembak penjenayah petang tadi.
Orang ramai melihat tempat kejadian pemilik kedai perkakasan rumah maut ditembak penjenayah petang tadi.
Oleh Azlan Hafeedz


Bachok: Pemilik kedai perkakasan rumah berusia 52 tahun maut, manakala anak perempuannya, 17, parah selepas ditembak penjenayah yang menyamun kedainya di Beris Lalang, di sini, 5.45 petang tadi.

Kedai itu disamun tiga penjenayah yang turut menggari isteri dan seorang pekerja lelaki terbabit.

Seorang daripada tiga penjenayah itu melepaskan tiga das tembakan dan terkena dada serta lutut mangsa, manakala sebutir lagi peluru terkena paha anaknya.

Peniaga itu meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, 7 malam tadi, manakala anaknya dilaporkan stabil.

Ketiga-tiga penjenayah yang menaiki kereta Proton Preve warna hitam dipercayai melarikan wang tunai antara RM1,000 hingga RM2,000.

Menurut seorang saksi, Mohd Azrien Mohd Nasir, 27, kejadian berlaku pantas.

"Tiba-tiba sebuah kereta menghampiri kedai dan tiga lelaki keluar sebelum beberapa das tembakan dilepaskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 9:24 PM