Sungai Petani: Seorang penjenayah menyerbu sebuah bank di Taman Ria Jaya jam 8.35 pagi semalam, sebelum melepaskan dua das tembakan ke arah dua pengawal keselamatan yang cuba menghalangnya menyebabkan seorang daripada mangsa cedera.

Lebih mengejutkan, suspek yang juga bekas tentera berusia 49 tahun bertugas sebagai pengurus sebuah syarikat keselamatan di bandar ini, malah dia menggunakan pistol milik syarikat tempatnya bekerja untuk melakukan jenayah terbabit.

Dalam kejadian itu, suspek yang memakai jaket dan bertopi keledar meluru ke arah pintu tepi dikhaskan untuk kakitangan sebelum merempuh masuk ke dalam bank.

Menurut sumber, ketika itu, beberapa kakitangan bank baru tiba untuk memulakan tugas.

“Suspek terus menerpa sambil mengacukan pistol ke arah dua pengawal keselamatan dan mengarahkan mereka tidak melawan. Bagaimanapun, pengawal keselamatan berkenaan menyerbu ke arah suspek sebelum suspek melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya mengenai paha kiri seorang daripada pengawal keselamatan itu.

“Suspek turut terjatuh ke lantai akibat ditolak dan berlaku pergelutan dengan pengawal keselamatan terbabit biarpun seorang daripadanya cedera. Mereka berusaha menahan suspek yang ketika itu bertindak agresif untuk melepaskan diri.

“Pada masa sama, dua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang tiba di bank sebaik menerima maklumat berjaya merampas revolver berisi tiga butir peluru di bawah perut suspek sebelum menahannya,” katanya.

Menurut sumber, pengawal keselamatan berusia 51 tahun yang cedera dibawa ke Hospital Sultan Halim (HSAH) untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Sumber berkata, suspek bekerja dengan sebuah syarikat keselamatan di Pulau Pinang selepas bersara pada 2008 dan bertugas di cawangan Sungai Petani.

“Suspek menunggang Yamaha 125Z yang diparkir di depan kedai menjual peralatan pembinaan sebelum menyerbu bank itu.

“Dia melakukannya bersendirian dan siasatan juga mendapati suspek yang berasal dari Amanjaya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.

Sumber berkata, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, anggota MPV berusia 50 tahun berpangkat koperal yang terbabit menahan suspek berkata, sebaik menerima maklumat kejadian, dia dan rakan setugas bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba di depan bank, kami dapati dua pengawal keselamatan sedang bergelut dengan suspek. Kami meluru masuk dan menindih suspek serta berusaha merampas pistol yang dipegang di bawah perutnya.

“Ketika itu, seorang pengawal keselamatan mengatakan dia tidak dapat bertahan lagi kerana pahanya sakit akibat terkena tembakan. Tidak lama kemudian, saya dengan bantuan seorang lagi pengawal keselamatan dapat merampas pistol lalu menggari suspek manakala rakan setugas berkawal di pintu bank,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 6:25 AM