Bachok: Keluarga peniaga barang perkakas rumah di Kampung Beris Lalang, di sini, yang maut ditembak tiga penjenayah, kelmarin, berharap masyarakat berhenti menyebarkan cerita palsu mengenai mereka.

Ini kerana terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang menyebar cerita kononnya keluarga itu kerugian hampir RM50,000 dalam kejadian berkenaan.

Berikutan itu, Norhaizan Mat Zin, 45, isteri kepada Mustaffa Siddiq, 52, yang maut dalam kejadian berkenaan merayu semua pihak tidak menyebar maklumat palsu kerana bimbang keselamatan mereka terancam.

“Mohon hentikanlah spekulasi dan sebar berita yang tidak betul kerana ia akan lebih mengancam keselamatan kami sedangkan kami baru kehilangan orang tersayang.

“Saya bimbang apabila cerita begitu wujud, orang akan beranggapan kami banyak wang sedangkan keadaan sebaliknya.

“Ia meletakkan kami dalam risiko dan nyawa terancam,” katanya.

Dalam kejadian jam 5.45 petang, kelmarin, Mustaffa meninggal selepas terkena tembakan di kiri perut dan lutut kanan manakala anak perempuannya, Ainul Wahida berusia 18 tahun turut cedera di paha kanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 8:32 AM