Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan negara Chong Wei Feng (gambar) mengaku masih belum pasti dapat beraksi pada saingan Seluruh England bermula 3 hingga 8 Mac kerana masih bergelut dengan kecederaan hamstring kaki kiri.

Ditemui selepas sesi latihan semalam, Wei Feng berkata, dia kini dalam proses pemulihan dengan doktor memaklumkan kecederaannya itu memerlukan masa antara tiga hingga empat minggu untuk pulih sepenuhnya.

“Mengenai Seluruh England, saya tak tahu lagi dapat beraksi atau tidak sebab kena tengok keadaan kaki dulu.

“Doktor beritahu kecederaan ini ambil masa tiga hingga empat minggu untuk pulih. Kini proses pemulihan baru 10 hari.

“Harap-harap dengan bantuan ISN (Institut Sukan Negara), proses pemulihan kaki saya dapat dipercepatkan,” katanya.

Wei Feng mengaku kecewa kerana berdepan kecederaan pada awal musim yang menyebabkannya tidak dapat beraksi dengan baik pada dua saingan sebelum ini.

“Memang kecewa tapi apa boleh buat. Lepas ini saya perlu bangkit semula dan cuba untuk memperbaiki ranking bagi membolehkan saya beraksi pada kelayakan Sukan Olimpik.

“Jika segala-galanya pulih seperti sedia kala, saya yakin dapat beraksi dengan baik,” katanya.

Wei Feng terpaksa menarik diri pada suku akhir Grand Prix (GP) Emas Terbuka India 2015 kerana berdepan kecederaan hamstring.

Dia sudah merasai kecederaan itu ketika beraksi di GP Emas Masters Terbuka Malaysia di Kuching.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 7:16 AM