Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur : Dua nasib berbeza dilalui dua pemain perseorangan utama negara pada saingan Terbuka Australia semalam.

Ketika Chong Wei Feng (gambar) masih berasa kecewa berikutan tidak dapat beraksi di Kejohanan Dunia, dia membuktikan tidak pernah mengenal erti putus asa apabila menewaskan dua lawannya di pusingan kelayakan.

Wei Feng hanya perlukan 40 minit untuk menewaskan pemain Jepun, Riichi Takeshita 21-19, 21-7 pada perlawanan pertama sebelum sekali lagi cemerlang menewaskan Michael Fariman dari Australia 21-9, 21-11 untuk membolehkan dia layak beraksi di pusingan pertama, hari ini.

“Perlawanan pertama agak mencabar tetapi selepas menang, perlawanan kedua nampak lebih mudah. Saya akan cuba sedaya upaya apabila bertemu Lee Hyun Il dari Korea,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara pemain persendirian Zulfadli Zulkiffli yang menjadi pilihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ke Kejohanan Dunia di Jakarta pada Ogos bersama Datuk Lee Chong Wei, pulang awal selepas mengambil keputusan menarik diri ketika bertemu pemain menduduki ranking ke-165 dunia, Kenta Nishimoto.

Zulfadli menarik diri ketika ketinggalan 16-21, 1-11 sekali gus gagal melepasi pusingan kelayakan.

“Saya tidak cedera, cuma berasa badan tidak sihat dan batuk-batuk. Saya sudah rasa tak sihat sejak balik daripada Sukan MASUM (Majlis Sukan Universiti Malaysia) di Sarawak minggu lalu. Ketika itu demam tapi sekarang tinggal batuk saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 8:32 AM