Skuter yang boleh disewa di Menara Taming Sari. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Skuter yang boleh disewa di Menara Taming Sari. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Oleh Amir Mamat


Melaka: Menara Taming Sari menjadi peneraju lokasi pelancongan di negeri ini yang melaksanakan program teknologi hijau menerusi Program Penyewaan Skuter Elektrik Eclimo ES11.

Program pelancongan mesra alam pertama di Malaysia itu mula ditawarkan kepada pengunjung bermula hari ini selepas pelancarannya dirasmikan Ahli Parlimen Jasin merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Menara Taming Sari Berhad Datuk Wira Ahmad Hamzah di pekarangan pusat pelancongan terbabit, petang ini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Menara Taming Sari Berhad Isnin Aman dan Pengarah Eksekutif OC Technology Sdn Bhd Saiful Bahri Samuel.

Ahmad berkata, program hasil inisiatif Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron itu adalah satu daripada usaha merealisasikan hasrat menjadikan Melaka sebagai negeri yang sentiasa mengamalkan teknologi hijau.

"Program ini adalah sejajar dengan status Melaka sebagai negeri maju dan saya amat berbangga kerana Menara Taming Sari adalah lokasi pelancongan pertama di negeri ini menyahut seruan kerajaan negeri.

"Saya ucapkan tahniah kepada pihak OC Technology dan Taming Sari kerana menjayakan program ini," katanya.

Skuter berkenaan menggunakan bateri Lithium Ion sepenuhnya dan boleh dicas penuh dalam tempoh 3 jam 30 minit. Ia mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 100 kilometer sejam. Pakej sewaan ditawarkan kepada pelancong mengikut jam iaitu RM30 sejam atau RM50 selama dua jam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 7:29 PM