KHALID (tiga dari kanan) tertarik dengan skuter elektrik Amanita pada majlis Seminar Pelaksanaan Perolehan Hijau Kerajaan PDRM, semalam.
KHALID (tiga dari kanan) tertarik dengan skuter elektrik Amanita pada majlis Seminar Pelaksanaan Perolehan Hijau Kerajaan PDRM, semalam.

Putrajaya: Satu undang-undang khusus diperlukan dalam menangani dan berdepan masalah militan serta keganasan terutama membabitkan rakyat negara ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata, banyak negara lain mewujudkan akta khusus dalam menghadapi masalah militan di negara masing-masing dan tiba masanya perkara yang sama dilaksanakan.

“Misalnya, bagaimana kita mahu berurusan dengan mereka yang pergi ke negara lain untuk ‘berjuang’ dan apabila mereka pulang ke negara ini, apakah ancaman kepada rakyat dan negara nanti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pelaksanaan Perolehan Hijau Kerajaan (GGP) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Teknologi Hijau dan Air) Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Harjeet Singh.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan kertas putih ‘Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (IS)’ di Dewan Rakyat, kelmarin berkata, kerajaan mencadangkan satu undang-undang baru digubal untuk membanteras dan mengambil tindakan terhadap rakyat Malaysia yang terbabit dalam aktiviti keganasan dan militan.

Pada masa sama, kerajaan juga bercadang membentang rang undang-undang berkenaan pada sidang Parlimen akan datang.

Najib berkata, kertas putih itu mencadangkan memperkasakan undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Khalid berkata, persediaan perlu dibuat bagi menghadapi ancaman daripada militan.

“SOSMA dan POCA adalah menjurus kepada aktiviti jenayah dan kami menghadapi aktiviti militan. Justeru, perlu ada satu undang-undang khusus termasuk berdepan dengan ancaman bakal mereka gunakan,” katanya.

“Pada tahun ini, PDRM membelanjakan peruntukan RM30.7 juta untuk membuat perolehan aplikasi hijau dalam melaksanakan perancangan sudah digariskan dalam ‘blueprint’ sebelum ini.

“Hari ini (semalam) pelancaran skuter elektrik dan sebagai permulaan, 33 unit skuter ini digunakan untuk Skuad Aman Wanita kita di sekitar Lembah Klang, Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 7:37 AM