Tan Sri Khalid Abu Bakar

Salam sejahtera dan selamat bertemu kembali kepada pembaca yang saya hargai,

Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) 2016-2020, pertumbuhan hijau menjadi anjakan penting dalam mencorak pembangunan sosio ekonomi negara serta melindungi hasil pembangunan dan biodiversiti. Dalam hal ini, perancangan strategi pembangunan sosio ekonomi yang dapat meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim dan bencana alam adalah kritikal. Persekitaran yang menyokong pertumbuhan hijau akan diperkukuh terutamanya dari segi rangka kerja dasar dan kawal selia, pembangunan modal insan, pelaburan teknologi hijau dan instrumen kewangan. Segala usaha ini adalah bertujuan meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.

Menerusi Teras Strategik ke-4 (RMK-11) iaitu Menuju Ke Arah Pertumbuhan Hijau Bagi Meningkatkan Kemampanan Dan Daya Tahan, fokus kepada kelestarian dan alam sekitar dipertingkatkan bagi memastikan kemampanan dan daya tahan pembangunan melalui pertumbuhan hijau. Tumpuan kepada empat bidang utama:

1. Memperkukuh persekitaran yang menyokong pertumbuhan hijau,

2. Mengguna pakai konsep penggunaan dan pengeluaran mapan,

3. Pemuliharaan sumber asli untuk generasi masa kini dan masa hadapan, dan

4. Memperkukuh daya tahan terhadap perubahan iklim dan bencana alam.

Jelasnya, Malaysia akan beralih daripada pembangunan konvensional kepada pertumbuhan hijau yang lebih mapan. Peralihan ini akan meletakkan Malaysia sebagai negara maju pada 2020 dengan ekonomi yang kukuh terhadap impak perubahan iklim serta bekalan sumber asli yang mencukupi dan terjamin.

Dalam edisi 17 Januari 2015 ruangan ini, saya menulis mengenai inisiatif yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyokong dasar Teknologi Hijau Negara, yang menjadikannya agensi kerajaan yang pertama mempelopori amalan hijau bagi mengurangkan aktiviti harian yang boleh membawa impak kepada komuniti dan juga alam sekitar.

PDRM sedar bahawa kerjasama dan perkongsian tanggungjawab semua lapisan masyarakat adalah penting dalam melindungi alam sekitar dan biodiversiti. Kejayaan pertumbuhan hijau bukan hanya memperluas peluang ekonomi, malah meningkatkan inklusiviti dan mengurangkan risiko bencana. Bermula dengan pelancaran Teknologi Hijau PDRM pada 27 Disember 2012, Blueprint Amalan Hijau dan Aplikasi Teknologi Hijau PDRM telah dibangunkan pada Januari 2014 dengan kerjasama Malaysia Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia). Blueprint ini bertujuan mewujudkan kesedaran dan meningkatkan pengetahuan warga PDRM tentang konsep amalan hijau dan aplikasi teknologi hijau di kalangan warga PDRM.

Setelah berakhirnya pelaksanaan Blueprint Amalan Hijau dan Aplikasi Teknologi Hijau PDRM pada 2015, pihak GreenTech Malaysia telah melakukan penilaian pencapaian pelaksanaan dan PDRM berjaya memperoleh keputusan pencapaian 85 peratus iaitu taraf 4 Bintang. Sijil Penghargaan Pencapaian Pelaksanaan Blueprint telah diserahkan Ketua Pegawai Eksekutif GreenTech Malaysia kepada saya bagi mewakili PDRM, semasa program PDRM Green Day yang berlangsung pada 16 Disember 2015 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.

Sebagai kesinambungannya, Blueprint 2.0 Amalan Hijau dan Aplikasi Teknologi Hijau PDRM 2016-2020 telah dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Mac 2016 lalu, sebagai inisiatif berterusan untuk merealisasi amalan hijau dalam pasukan polis. Blueprint 2.0 ini menggariskan pelan tindakan lima tahun PDRM untuk mencapai pengurangan keseluruhan 33,700 tan karbon dioksida (CO2) agensi itu menjelang 2020, yang mana sasaran ini adalah selari dengan Rancangan Malaysia Ke-11.

Usaha PDRM dalam menghasilkan Blueprint 2.0 Amalan Hijau dan Aplikasi Teknologi Hijau Polis Diraja Malaysia ini adalah selari dengan peredaran masa dan dasar kerajaan bagi menggalakkan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 45% dari aras 2005 menjelang 2030. Sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab terhadap keselamatan negara, PDRM tidak ketinggalan untuk bersama-sama merealisasikan komitmen kerajaan dengan memperkembangkan inisiatif hijau yang telah dilaksanakan melalui Blueprint terdahulu. Agenda teknologi hijau akan diteruskan dengan lebih agresif lagi melalui pelan tindakan yang telah ditetapkan dalam Blueprint 2.0 ini, yang akan digunakan sebagai rujukan dan panduan di kalangan pegawai, anggota dan warga PDRM dalam melaksanakan segala aktiviti yang membabitkan amalan hijau serta aplikasi teknologi hijau.

Pembaca budiman, usaha PDRM dalam menyahut seruan kerajaan dalam melaksanakan amalan hijau dan aplikasi teknologi hijau adalah satu usaha yang murni bagi mentransformasikan Malaysia ke arah pembangunan yang lestari. Ini menunjukkan keprihatinan PDRM menjaga kelestarian alam sekitar bagi kesejahteraan dan keselamatan masyarakat. Dengan terhasilnya Blueprint 2.0 Amalan Hijau dan Aplikasi Teknologi Hijau Polis Diraja Malaysia 2016-2020 ini, ia sekali gus membuktikan PDRM komited meneruskan kecemerlangan pelaksanaan Blueprint yang dilancarkan sebelum ini dan sekali gus menjadi pelopor dan perintis dalam Pembangunan Teknologi Hijau Negara. Sokongan, komitmen dan dedikasi seluruh warga PDRM dalam merealisasikan hasrat kerajaan bagi menghasilkan persekitaran yang lebih baik, pertumbuhan yang mapan, serta pengurusan dan pemuliharaan sumber yang mantap harus dipuji dan dijadikan role model oleh semua organisasi.

Adalah menjadi harapan saya, imej PDRM dapat dipertingkatkan bukan sahaja sebagai bertanggungjawab menjaga keselamatan negara, malahan bertanggungjawab terhadap masyarakat dan memulihara alam sekitar menerusi inisiatif amalan hijau yang mantap dan setaraf dengan pasukan polis lain di peringkat antarabangsa. Blueprint 2.0 ini diharap berupaya mengubah minda warga PDRM dalam mengamalkan kehidupan yang lebih lestari, selain menyediakan persekitaran yang lebih selamat, selesa dan sihat untuk warga PDRM khasnya, dan seluruh masyarakat Malaysia amnya, Insya-Allah.

Penulis Ketua Polis Negara

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 7:33 AM