NEGERI Sembilan merekodkan kutipan hasil bukan cukai bagi faedah dan perolehan daripada pelaburan berjumlah RM11.9 juta bagi tempoh Januari hingga 31 Oktober lalu. FOTO BERNAMA
NEGERI Sembilan merekodkan kutipan hasil bukan cukai bagi faedah dan perolehan daripada pelaburan berjumlah RM11.9 juta bagi tempoh Januari hingga 31 Oktober lalu. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan merekodkan kutipan hasil bukan cukai bagi faedah dan perolehan daripada pelaburan berjumlah RM11.9 juta bagi tempoh Januari hingga 31 Oktober lalu, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu, pada Isnin.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, penerimaan hasil berkenaan meliputi faedah dan dividen daripada simpanan tetap kerajaan, pulangan pelaburan bon dan sukuk yang dijangka diperoleh pada Disember ini.

"Bagi perolehan daripada jualan barang-barang termasuk caj air mentah dan royalti pula sebanyak RM65.3 juta atau 49.9 peratus daripada sasaran belanjawan, dengan premium tanah mencatatkan pengurangan ketara dalam kutipan hasil," katanya pada sesi pertanyaan di persidangan Dewan Undangan Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Serting) mengenai jumlah kutipan hasil faedah dan perolehan daripada pelaburan serta kutipan perolehan daripada jualan barang-barang bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin menyarankan agensi kerajaan dan swasta supaya menggunakan teknologi hijau untuk mengurangkan kesan pemanasan global di premis masing-masing sekali gus menjadi antara penyelesaian kepada kos utiliti elektrik yang tinggi dan tidak efisien.

Beliau berkata, jumlah penggunaan tenaga solar di seluruh negeri ini setakat Oktober lalu adalah 33,494 kilowatts puncak (kWp) dengan sektor perdagangan/komersial sebanyak (1,837 kWp), domestik dan kediaman (11,352 kWp) industri (19,474 kWp) dan pertanian (831 kWp).

Bagaimanapun, perancangan masa depan dari segi penggunaan tenaga solar sebagai alternatif kepada sumber tenaga sedia ada memerlukan kajian rintis yang lebih mendalam merangkumi teknikal serta keupayaan struktur bangunan sedia ada bagi menampung kapasiti panel solar berkenaan, katanya.

"Ia juga memerlukan kerjasama daripada jabatan atau agensi teknikal yang berkaitan," katanya bagi menjawab soalan P. Gunasekaren (PH-Seremban Jaya) mengenai jumlah penggunaan tenaga solar yang terdapat di Negeri Sembilan dan sama ada kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk menggunakan tenaga solar di premis kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 2:32 PM