Manchester: Pengurus Manchester United, Louis van Gaal berkata, dia ‘tidak cemburu’ dengan skuad juara bertahan Manchester City ketika pengurus Belanda itu membuat persiapan derby pertama dalam bola sepak Inggeris.

Prestasi merudum dipamer City agak membimbangkan apabila ketika seri dengan CSKA Moscow dalam saingan Liga Juara-Juara, kalah kepada West Ham dan tersingkir daripada kempen Piala Liga di tempat sendiri kepada Newcastle.

Skuad Manuel Pellegrini hanya mencatat enam kemenangan dalam 15 perlawanan kompetitif musim ini menjelang perlawanan di Stadium Etihad, malam ini.

Van Gaal, yang turut berdepan masalah dengan pasukannya sendiri dalam cubaannya mengubah nasib United, sekadar menang tiga daripada 10 perlawanan pertama sebagai pengurus baru.

Bagaimanapun, bekas pengurus Belanda itu menegaskan dia langsung tidak irihati terhadap pasukan jirannya itu.

“Saya tidak cemburu dengan skuad Manchester City,” kata van Gaal.

“Saya bangga dengan pemain saya, paling penting adalah bermain sebagai satu pasukan dan jika kami bermain seperti itu, kami ada peluang menang.

“Pada beberapa perlawanan terakhir, City kelihatan seperti melalui proses sama seperti Manchester United.

“Mereka juga kelihatan seperti tidak bernasib baik pada tiga perlawanan terakhir.

“Mereka mendahului ketika berdepan CSKA Moscow dan akhirnya seri 2-2. Kami mendahului Leicester City 3-1 dan kami tewas 3-5. Ia kekecewaan besar buat pemain serta kepercayaan, tetapi sasaran sekarang adalah mengatasi Manchester City.

“Apapun, perlawanan derby sentiasa istimewa jadi anda tidak boleh berkata apa-apa terutamanya mengenai keputusan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 6:01 AM