DUA daripada lapan guru wanita kumpulan pertama dipilih kerajaan menjalani latihan menembak sebagai persediaan menghadapi serangan militan di Peshawar.
DUA daripada lapan guru wanita kumpulan pertama dipilih kerajaan menjalani latihan menembak sebagai persediaan menghadapi serangan militan di Peshawar.
Agensi

Peshawar: Sekumpulan guru wanita di wilayah Khyber Pakhtunkhwa kini mempunyai satu tugas tambahan selain daripada mengajar kanak-kanak setempat, iaitu bersedia membunuh - jika perlu - bagi mempertahankan diri.

Langkah drastik itu diambil selepas kerajaan mengumumkan, guru di Peshawar akan menjalani latihan perang bagi menghadapi pengganas.

Pegawai penerangan di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Mushtaq Ahmad Ghani berkata, langkah berkenaan membolehkan guru terbabit mempertahankan diri serta murid masing-masing selama antara lima hingga 10 minit sebelum bantuan keselamatan tiba.

“Untuk fasa pertama, seramai lapan guru wanita diberi latihan mengendalikan senjata api, termasuk pistol dan raifal Kalashnikov serta asas perlindungan diri sebelum membalas tembakan,” katanya semalam.

Keputusan itu diambil sebagai tindak balas terhadap tragedi serangan militan di Peshawar pada 16 Disember tahun lalu.

Seramai 145 orang, termasuk 132 kanak-kanak sekolah maut dalam insiden di Sekolah Tentera Awam itu.

Mushtaq Ahmad berkata, kerajaan Khyber Pakhtunkhwa bersetuju membenarkan guru setempat memiliki senjata api sebagai persediaan menghadapi serangan pengganas.

“Pada masa sama, 35,000 institusi pendidikan di seluruh Khyber Pakhtunkhwa diarah meningkatkan kawalan keselamatan serta-merta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 January 2015 @ 5:12 AM